Selasa, 14 March 2017 | 12:03am
ANTARA sedutan dalam filem Kanang Anak Langkau: The Iban Worrior.

Filem perjuangan Kanang sentuh emosi penonton


ANTARA babak dalam filem Kanang Anak Langkau: The Iban Worrior.

SELAIN cerita yang sememangnya diketahui umum, malah tercatat dalam sejarah tanah air, ada beberapa elemen lain yang turut menjadikan filem Kanang Anak Langkau: The Iban Worrior sebagai naskhah yang wajib ditonton, khususnya bagi generasi baharu.

Filem biografi yang padat dengan pertempuran, sesuai dengan genre aksinya, bukan sekadar mendebarkan, malah berjaya meruntun hati penonton.

Naskhah pertama terbitan Tangan Seni Sdn Bhd itu menggunakan anak bongsu mendiang Kanang, Langgi, 36, sebagai pelakon utamanya. Meskipun langsung tidak pernah berlakon sebelum ini, namun pengalaman 18 tahun dirinya sebagai tentera banyak membantu beliau menjayakan karakter bapanya yang bertarung nyawa di medan perjuangan.

Langgi sendiri pernah menolak tawaran melakonkan watak berkenaan, seperti diceritakan penerbitnya, Zainal Fikri Mohd Dali dan pengarah, Bade Azmi. Katanya, beliau tidak mempunyai keyakinan untuk berbuat demikian, malah takut untuk berhadapan dengan kamera dan tenaga produksi yang ramai.


KUALA LUMPUR 13 MARCH 2017. Filem Kanang Anak Langkau The Iban Warrior. NSTP/Ihsan PEMBACA

ANTARA sedutan dalam filem Kanang Anak Langkau: The Iban Worrior.

Demi bapa tercinta

Namun, apabila mereka meminta beliau melakukannya demi bapa tercinta, hati Langgi tersentuh, membuatkannya bersedia memasuki lokasi filem beberapa hari sebelum penggambaran dijalankan.

Hasilnya, daripada riak wajah saling tak tumpah dengan mendiang bapanya, Langgi berjaya melahirkan lakonan yang ikhlas.

Ketenangan yang ada dalam diri lelaki itu dilihat amat sesuai dengan watak pemimpin yang dibawanya, iaitu sebagai Sarjan Mejar di Rejimen Renjer Ke-8 dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketenangan itu pula ditunjukkan menerusi matanya yang tidak 'panik' ketika satu persatu anggotanya cedera diserang musuh.

Saat beliau perlu memastikan keselamatan anggota pasukannya, Kanang turut ditembak beberapa kali sehingga mengalami kecederaan parah.


LANGGI anak Datuk Kanang memegang watak bapanya Kanang anak Langkau dalam filem Kanang Anak Langkau: The Iban Worrior. - Foto Zunnur Al Shafiq

Dapat rasakan kesakitan

Melihat sendiri lakonan Langgi sebagai insan yang cukup dekat dengan dirinya, jelas dapat dilihat kesayuan dirasakan lelaki itu dan kerinduannya terhadap bapa tersayang.

"Memang ada beberapa babak yang sangat meninggalkan kesan pada diri saya, terutama melakonkan adegan bapa saya ditembak komunis sehingga ususnya terburai. Dengan kesan khas yang begitu sempurna, saya dapat rasa bagaimana sakit dirinya ketika itu.

"Saya sendiri sebak ketika menonton babak berkenaan," katanya yang tidak mampu meneruskan kata-kata saat ditemui selepas pratonton filem itu di ibu negara, berakhir, baru-baru ini.

Tangisan sambut ketibaan

Selain Langgi, turut ditampilkan dalam filem berkenaan ialah dua bintang komersial, iaitu Adi Putra dan Johan As'ari. Cuma, kehadiran bagai tidak memberikan makna apabila watak masing-masing dilihat kurang menyerlah.

Sepatutnya lakonan Adi yang membawa watak Koperal Omar Awang Tengah dan Johan (Lans Koperal Wan Shapuddin Abu Kassim) lebih banyak ditonjolkan, sesuai dengan penceritaan yang dipaparkan menerusi sudut pandang lima sahabat pejuang berkenaan.


ANTARA sedutan dalam filem Kanang Anak Langkau: The Iban Worrior.

ANTARA sedutan dalam filem Kanang Anak Langkau: The Iban Worrior.

Malah, jika dibandingkan watak komunis dilakonkan Jimmy Leong Siew Chai sebagai Nam Yat, Ruzana Ibrahim (Senah) dan Jerica Lai Siau Fwei (Chin Hua), karakter mereka nyata lebih menonjol dan diingati penonton.

Apa pun, babak akhir yang menyaksikan pasukan penyelamat membawa Kanang dalam keadaan cedera parah tiba di kem tentera cukup menyentuh hati. Ketibaannya yang dinantikan isteri dan anak-anak bersama tangisan yang menyentuh jiwa, sebelum beliau dibawa ke hospital, pasti membuatkan anda turut menitiskan air mata sedih.

Babak akhir itu pula disusuli dengan video rakaman lama pada hari pengebumiannya, pada Januari 2013. Cuma, jangan tersalah sangka dengan paparan video terbabit.

Selepas peristiwa pertempuran Kanang dan platunnya di Tanah Hitam, Perak, pada 19 Februari 1980, yang menyaksikan beliau mengalami kecederaan teruk dan terlantar di hospital selama 14 bulan, Kanang sebenarnya selamat dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

Perwira negara itu menghembuskan nafas terakhir pada 3 Januari 2013 pada usia 68 tahun akibat serangan jantung di rumahnya.


BARISAN pelakon filem Kanang Anak Langkau: The Iban Worrior. - Foto Zunnur Al Shafiq

Sinopsis

Filem ini mengisahkan seorang lelaki Iban, Kanang Anak Langkau, dengan darah pahlawan mengalir dalam tubuhnya. Kanang, yang tinggal di pedalaman Sarawak, percaya kaum Iban perlu dibesarkan untuk menjadi pahlawan.

Beliau diajar oleh datuknya mengenai selok-belok hutan. Kanang juga menjadi pemburu dan penjejak hutan yang hebat, sehingga mampu membaca angin, mendengar nafas harimau dan singa, serta mendengar degupan jantung pokok.

Tahun 1965 ialah kemuncak pemberontakan Komunis di Malaysia, dan Sarawak turut terdedah kepada ancaman musuh itu. Tentera British mengetahui mengenai kepakaran dan kehebatan Kanang mengenai hutan dan cuba menarik minat beliau untuk berkhidmat dan membantu menentang militan Komunis.

Kerjaya Kanang dalam tentera bermula apabila beliau menyertai Rejimen Renjer Sarawak sebagai 'Iban Tracker', sehinggalah menjadi Sarjan Mejar di Rejimen Renjer Ke-8 dalam Angkatan Tentera Malaysia. Kanang bersama platunnya banyak berjuang menghapuskan militan komunis yang semakin mengganas di seluruh negara dari tahun 1948 sehingga 1983.

Pertempuran sengit antara pengganas komunis dan pasukan keselamatan berlarutan hingga ke Hutan Korbu dan Tanah Hitam di Perak. Sewaktu pertempuran di Tanah Hitam, Kanang ditembak sehingga cedera parah, namun beliau terus gagah berjuang sehingga berjaya menumpaskan pengganas Komunis.

Info

Terbitan: Tangan Seni Sdn Bhd

Penerbit: Zainal Fikri

Pengarah: Bade Azmi

Pelakon: Langgi, Adi Putra, Johan As'ari, Ruzana Ibrahim, Aidil Aziz, Zach X-Factor, Taufiq Hanafi, Adam Shahz dan Rosley Rusdi

Genre: Aksi / Sejarah

Kos: RM6 juta

Lokasi Penggambaran: Taiping, Kuching dan Samarahan

Tarikh Tayangan: 16 Mac 2017

Berita Harian X