Isnin, 13 March 2017 | 9:16pm

Sime Darby batal lupus tanah di Australia

KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd tidak akan meneruskan pelupusan hartanah perindustriannya di Australia dan pengambilalihan sebanyak 80 peratus saham terbitan Japan Residential Asset Manager Ltd.

Sime Darby dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, berkata ia tidak dapat menyelesaikan langkah itu menjelang tarikh akhir pelaksanaan perjanjian pada 31 Mac 2017.

Pada Ogos 2016, Sime Darby telah memeterai perjanjian rangka kerja dengan Japan Residential Assets Manager bagi melupuskan hartanah perindustrian di Australia kepada Saizen Real Estate Investment Trust (Saizen REIT).

Konglomerat itu juga menandatangani perjanjian pembelian bersyarat bagi memperoleh 80 peratus saham terbitan dalam Japan Regional Assets Manager, pengurus Saizen REIT, daripada Japan Regional Assets Manager Ltd.

Sime Darby berkata surat pekeliling kepada pemegang-pemegang unit Saizen REIT untuk mendapatkan kelulusan bagi pelupusan hartanah terbabit perlu dikeluarkan menjelang 9 Mac 2017 termasuk surat bagi mesyuarat luar biasa yang perlu dikeluarkan 31 Mac 2017.

Pekeliling ini, bagaimanapun tidak dapat dikeluarkan sebelum tarikh tersebut.

"Pihak yang terbabit masih dalam perbincangan khususnya mengenai penamatan perjanjian pelaksanaan dan pengambilalihan Japan Residential Asset Manager," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X