Isnin, 13 March 2017 | 6:23pm

Banyak kes pedofilia dilakukan berulang kali

KUALA LUMPUR: Pedofilia atau individu yang tertarik dengan kanak-kanak untuk hubungan intim dan seksual melakukan perbuatan berkenaan dengan terancang, niat dan sedar atas perbuatan dilakukannya.

Pensyarah Kanan Sains Forensik Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Geshina Ayu Mat Saat, berkata walaupun segelintir pihak memberi tanggapan pedofil sebagai 'orang gila', hakikatnya mereka waras, mempunyai niat melakukan jenayah itu dan ada yang dilakukan secara berulang kali.

Katanya, jika dibandingkan dengan perogol, pelaku mungkin melakukan secara tanpa perancangan teliti, sebaliknya bagi pedofil mereka memang merancang untuk melakukannya.


PEDOFILIA atau individu yang tertarik dengan kanak-kanak untuk hubungan intim dan seksual melakukan perbuatan berkenaan dengan terancang. - Foto hiasan

Beliau berkata, buktinya dalam banyak kes bagi pedofil mereka akan melakukan jenayah berkenaan ke atas kanak-kanak secara berulang-ulang.

"Keadaan kanak-kanak yang takut pada pelaku, antara sebab ia masih berlaku hingga ke hari ini. Saya merasakan keadaan ini sangat serius dan perlu ditangani segera.

"Pedofil diistilahkan pada tarikan seksual yang sangat kuat pada kanak-kanak, tetapi secara peribadi, saya berpendapat sebarang tarikan oleh orang dewasa kepada kanak-kanak adalah suatu kesalahan kerana ia sudah di rancang dan tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian pada Perbincangan Panel Mendalami Minda dan Corak Tingkah Laku Penjenayah & Impak Ke atas Mangsa Di Malaysia Pada Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak : Hentikan, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Tanggapan ibu bapa

Memetik suatu kajian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai tahap pengetahuan ibu bapa terhadap jenayah seksual dalam kalangan kanak-kanak adalah sangat rendah.

"Kajian itu mendedahkan ramai ibu bapa yang beranggapan kanak-kanak berusia enam tahun, sudah tahu baik buruk dan dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselamatan mereka di luar rumah. Sedangkan usia matang untuk mereka adalah 18 tahun dan ke atas," katanya.

INFO

Pedofilia:

  • The International Classification of Diseases (ICD) mentakrif pedofilia sebagai kecelaruan dalam personaliti orang dewasa yang mempunyai keinginan seks terhadap kanak-kanak belum baligh atau baharu mencapai umur baligh.
  • Jika dilihat takrifan, pedofilia adalah pesakit mental atau yang mengalami gangguan psikiatrik.
  • Di Malaysia, ada beberapa perundangan yang boleh digunakan terhadap pedofilia. Antaranya, Akta Kanak-kanak 2001, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (akta 588) termasuk pindaan 2006 dan Kanun Keseksaan.
Berita Harian X