Isnin, 13 March 2017 | 12:02am
COUNTRY Director, Huawei Consumer Business Group (Malaysia), Heymans Zhu (tengah) melancarkan tiga siri telefon pintar Huawei P10 iaitu Huawei P10 Lite, Huawei P10 dan Huawei P10 Plus di Pusat Konvensyen Setia City (SACC), hari ini. - Foto BERNAMA

P10 merevolusi gaya hidup fotografi digital


HUAWEI P10. - Foto Roslin Mat Tahir

PENTAS pasaran telefon pintar Malaysia minggu ini dimeriahkan dengan kehadiran telefon pintar Huawei siri P10 selepas pertama kali diperkenalkan di Mobile World Congress 2017 Barcelona, baru-baru ini.

Ia menyaksikan gergasi elektronik China itu meneruskan kecemerlangan kerjasama dengan Leica merevolusi gaya hidup fotografi digital dengan menjadi telefon pintar pertama yang memiliki lensa kamera hadapan Leica bagi P10 dan P10 Plus.

Bagi penulis, secara keseluruhannya Huawei semakin serius untuk mengukuhkan kedudukannya berlandaskan minat pengguna yang masih gilakan rakaman fotografi dan swafoto.

Peluang menggenggam peranti pintar terbaharu itu agak mengujakan, apatah lagi untuk mencuba keupayaan sistem kamera dwi-lensa terbaharunya dengan penderia 20 megapiksel bagi hitam-putih dan penderia 12 megapiksel berwarna.

Walaupun tidak banyak objek yang boleh dijadikan subjek rakaman ketika ujian singkat dilakukan, sekilas lalu penulis mendapati kecerahan, ketajaman dan kedalaman bayangan gambar lebih ketara berbanding P9 yang dimiliki penulis.

Ujian swafoto dengan kesan khas Bokeh juga sesuatu yang baharu untuk penulis dihasilkan kamera hadapan P10 yang dibina bersama lensa Leica f/1.9 dan penderia lapan megapiksel.

Spesifikasi lain yang ditonjolkan ketika pelancaran P10 adalah Skrin 5.1 inci IPS NEO, prosesor lapan teras HiSilicon Kirin 960, RAM 4 GigaBait, pilihan ROM 32 GigaBait atau 64 GigaBait, dan slot kad MikroSD yang mampu menyokong storan tambahan sehingga 256 GigaBait.

Walaupun pada saiz yang lebih kecil dan kemas untuk dipegang, siri P10 hadir dengan kapasiti bateri lebih besar pada kuasa 3200 mAh dan disokong pengecasan pantas melalui port USB-C.


MODEL menunjukkan telefon Huawei P10 and P10. - Foto Roslin Mat Tahir

Bagi pengguna yang biasa dengan model Huawei siri P pasti akan menyedari terdapat butang 'rumah' sesentuh di bahagian bawah telefon yang sebenarnya turut berfungsi sebagai butang pengimbas cap jari untuk akses sekuriti pantas.

Namun agak mengecewakan P10 masih belum mengejar pesaingnya dari segi ketahanan kalis air apabila hanya menawarkan peranti yang kalis percikan air berbanding pesaingnya yang sudah mula memperkenalkan peranti dengan piawaian IP68 yang mampu tenggelam sepenuhnya dalam air.

Mungkin kerana peranti itu masih memiliki beberapa 'lubang' yang lebih penting dan selesa untuk digunakan pengguna seperti slot audio 3.5 mm, port pengecasan USB-C, dan satu pembesar suara mono.

Secara asasnya, penulis berpendapat Huawei masih mengekalkan reka konsepnya untuk mengutamakan keselesaan pengguna berbanding terlalu pantas memperkenalkan kecanggihan teknologi baharu yang berisiko membuatkan pengguna 'terkejar-kejar' tanpa memanfaat sepenuhnya inovasi sedia ada.

Info:

*Huawei P10

  • Huawei P10 // 4GB RAM + 64GB Storage // Prestige Gold, Graphite Black // RM2,499
  • Huawei P10 Plus // 6GB RAM + 128GB Storage // Prestige Gold, Graphite Black // RM 3,099
  • Huawei P10 Lite // 4GB RAM + 32GB Storage // Prestige Gold, Graphite Black // RM 1,299
  • Pra-tempahan bermula 23 Mac
  • Platform Huawei Experience Store, Lazada dan Vmall.

Berita Harian X