Selasa, 26 Ogos 2014 | 7:38am
CERMIN kalis peluru buatan tempatan antara produk berkualiti R&D setanding pasaran luar. - Foto Zunnur Al Shafiq

MOSTI komersial produk R&D ke pasaran antarabangsa

Teknologi bateri ion lithium, loji pemprosesan biogas dan tangki CNG, rawatan luka daripada chitosan, penghasilan tulang rawan tiruan daripada aloi titanium dan plastik, kiosk hibrid menggunakan solar dan bateri, tempat penyimpanan pintar untuk senjata, cermin kalis peluru dan pembasmi kuman hasil gabungan teh serta aloe vera.

Ini antara ribuan lagi ciptaan anak tempatan, hasil daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang sains, teknologi dan inovasi yang dibangunkan di negara ini.

Ratusan produk R&D dikomersial

Menerusi dana pengkomersialan yang diwujudkan sejak Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), ratusan produk R&D sudah dikomersialkan dan ada yang berjaya mendapat tempat di luar negara.

Menerusi pelan transformasi negara, Malaysia dijangka mencapai tahap negara berpendapatan tinggi dan mampu menjadi pengeluar teknologi menjelang tahun 2020. Dalam usaha ini, kerajaan memperuntukkan dana pembiayaan arah merealisasikan cita-cita itu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Ewon Ebin, berkata menerusi RMKe-10 (2011 hingga 2015), pihaknya menawarkan enam dana yang menjurus kepada keperluan memenuhi rantaian R&D.

Ini termasuk Dana Sains, Dana Tekno, Dana Inno (Inovasi) dan dan Dana Pra-Pengkomersialan yang merangkumi Dana Pemerolehan Teknologi (TAF) serta Dana Biotechnology Corporation.

Dana ini ditawarkan kepada syarikat industri kecil dan sederhana, institusi penyelidikan dan institusi pengajian tinggi untuk menjalankan projek yang meliputi sektor teknologi maklumat dan komunikasi, bioteknologi, industri, teras sains dan teknologi.

Sehingga Jun 2014, sebanyak 1,479 projek diluluskan dengan nilai pembiayaan berjumlah RM652.86 juta dan sebanyak 1,048 penerbitan nasional dan antarabangsa dihasilkan.

Selain itu, sebanyak 276 harta intelek dalam bentuk paten, cap dagangan, hak cipta dan reka bentuk industri turut difailkan dengan 3,355 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan.

MOSTI lancar MCY2014

Dalam usaha memastikan semua teknologi dan produk yang berpotensi mampu dikomersialkan secara besar-besaran, MOSTI melancarkan Tahun Pengkomersialan MOSTI 2014 (MCY2014) mulai 23 Januari lalu dengan tema 'Sains, Teknologi dan Inovasi Menjana Kekayaan.'

"Menerusi program yang dilaksanakan, pihak MOSTI membantu menemukan tekno usahawan dengan pihak terbabit seperti pelabur dan industri bagi mengangkat produk yang dihasilkan ke pasaran yang lebih luas termasuk luar negara," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Bahagian Inovasi MOSTI, Lailah Che

Mohd Darus, berkata sepanjang tahun ini, pihaknya melaksanakan sembilan inisiatif baru yang meliputi tiga komponen utama iaitu landasan teknologi pengkomersialan, perkhidmatan maklumat dan promosi.

"Kita menyasarkan sekurang-kurangnya 60 produk R&D dihasilkan melalui dana serta kemudahan kementerian dan agensi.

"Sehingga 5 Ogos lalu, sebanyak 40 produk sudah dikomersialkan. 18 produk bakal dilancar dan dikomersialkan bersempena dengan penganjuran 'Program Persidangan dan Pameran Pengkomersialan MOSTI 2014' (MCCE2014).

"Produk ini terdiri daripada pelbagai kategori seperti teknologi maklumat dan perisian, pertanian, kimia, kejuruteraan, bioteknologi, perubatan dan kesihatan serta alam sekitar," katanya.

MCCE2014 yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula pada 13 Ogos ini di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC). Inilah kali pertama program seumpama ini diadakan dengan mengumpulkan puluhan penyelidik yang pernah mendapat dana bagi tujuan penyelidikan dan pengkomersialan dengan agensi di bawah MOSTI.

Persidangan, pameran ketengah hasil penyelidikan

"Persidangan dan pameran ini bertujuan menguar-uarkan hasil penyelidikan yang berjaya dikeluarkan usahawan daripada pelbagai bidang berkaitan sains dan teknologi. Daripada penyelidikan yang berskala kecil hinggalah kepada yang berteknologi tinggi," katanya.

Padanan pasaran turut ditawarkan dalam MCCE2014 bagi membolehkan usahawan tempatan memasarkan produk penyelidikan kepada peringkat lebih luas.

Kekangan komersial produk penyelidikan

Mengulas mengenai kekangan untuk mengkomersialkan produk penyelidikan tempatan, Lailah berkata, kebanyakan R&D mengambil masa yang lama dan kadangkala apabila siap, ia tidak lagi menjadi keperluan pasaran.

"R&D lazimnya siap dalam tempoh dua tahun, tetapi apabila produk berjaya dihasilkan, ia bukan lagi menjadi keperluan pasaran. Ini sekali gus menjejas semangat usahawan dan sukar untuk mencari pasaran bagi produk berkenaan.

"Teknologi berkembang dengan pantas, tekno usahawan tempatan perlu bersemangat tinggi dan berilmu serta kerja keras selain terlatih dan mempunyai kepakaran bukan hanya mengambil produk pihak lain dan memasarkannya," katanya.

Selain itu, beliau tidak menafikan sikap usahawan terutama Bumiputera yang tidak mahu menceburi bidang penyelidikan berteknologi tinggi yang mampu menembus pasaran antarabangsa juga menjadi kekangan dalam usaha melahirkan tekno usahawan berdaya saing.

Justeru, usaha MCCE2014 antara usaha yang dilaksanakan MOSTI dalam membantu mengetengahkan produk R&D untuk dikomersialkan. Ia juga bagi menilai sejauh mana keupayaan produk R&D tempatan dapat menembusi pasaran.

Berita Harian X