Sabtu, 11 March 2017 | 12:12am

Grill Nogri Striplon tampil keunikan rasa stik


CHEF Bathiar Redzuan bersama Grill Nogri Striplon di Hotel Geno. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Aroma Kulinari

BOSAN dengan menu makanan Barat yang menghidangkan stik bersama sos barbeku atau cendawan, pakar masak, Cef Bathiar Redzuan dari Hotel Geno di Subang Jaya, mencipta kelainan dengan sentuhan istimewa.

Bahtiar berkongsi resipi stik berunsurkan fusion atau gabungan kepelbagaian bagi menepati cita rasa dan menampilkan keunikan.

Katanya, stik itu diberi nama, 'Grill Nogri Striplon' kerana ia mempunyai sentuhan masakan Negeri Sembilan.

"Ngori itu sendiri bermaksud negeri, dialek yang selalu digunakan oleh masyarakat tempatan Negeri Sembilan. Sebab itu saya beri nama itu. Untuk tampilkan kelainan, saya gantikan sos stik dengan kuah lemak. Justeru, santan digunakan untuk menyediakan sos. Biasanya, masak lemak ini dimasak dengan ketam dan udang, kali ini ia dijadikan sos untuk stik," katanya.

Jamu tetamu

Bahtiar berkata, gabungan makanan barat dan tempatan ini pasti menambat selera orang ramai, khususnya yang sukakan kelainan. Ia juga mudah disediakan.

Untuk menyediakan daging stik pula, beliau menasihatkan guna daging yang segar. Paling penting, ketika memasak, jangan memasak terlalu lama dan untuk memastikan daging masak elok, kepanasan api juga perlu dijaga. Api tidak boleh terlalu besar.

Katanya, resipi stik ini boleh sediakan di rumah untuk menjamu tetamu istimewa atau sekadar dimakan bersama keluarga.


BAHAN-bahan yang diperlukan untuk menyediakan Grill Nogri Striplon. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Bahan-bahan:

200gram (g) daging batang pinang

100g salad

150g kentang putar

1 sudu teh sos salad

Cara-cara:

1. Perap daging bersama garam, lada hitam, paprika, bawah putih yang dicincang dan daun thyme.

2. Panggang sehingga daging masak dalam keadaan sederhana dan tidak terlalu masak.

3. Hidangkan bersama kentang putar.

Bahan-bahan membuat sos

10g bawang merah

10g bawang putih

10g halia

10g serai

2 sudu teh santan

1 sudu teh serbuk kunyit

2 sudu teh garam

1 sudu teh lada hitam

1/2 cawan air

Cara-cara:

1. Tumiskan bawang sehingga naik bau.

2. Masukkan santan, kunyit dan diikuti dengan air.

3. Kacau sehingga mendidih supaya tidak pecah minyak dan hidangkan.

INFO:
Daging batang pinang

  • - Dalam bahasa Inggeris ialah sirloin.
  • Ia bahagian daging lembu yang berasal dari bahagian bawah daging rusuk, terus sampai ke bahagian sisi luar filet.
  • - Biasanya di barat, daging ini digunakan untuk membuat stik.
  • - Di negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Thailand, Indonesia atau Brunei, ia biasanya di gunakan untuk masakan kari, rendang, gulai atau kurma dan satay.

Berita Harian X