Khamis, 9 March 2017 | 3:35pm

Azzam Sham jadi pelajar terbaik di ASWARA


AZZAM mendapat purata nilai gred 3.58 bagi peperiksaan semester satu, yang membolehkan dirinya dipilih sebagai penerima anugerah berkenaan.

KUALA LUMPUR: Penyanyi remaja, Azzam Sham, yang sedang menuntut di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) melahirkan rasa gembira apabila dipilih sebagai Pelajar Terbaik Fakulti dan penerima Anugerah Dekan Semester Pertama, baru-baru ini.

Penuntut bidang Diploma Muzik itu berkata, pencapaian berkenaan menyuntik semangatnya untuk terus berusaha dan belajar lebih tekun dalam pengajian yang masih berbaki dua tahun setengah.

"Saya bersyukur kerana penat-lelah dalam pelajaran membuahkan hasil. Saya memang mencuba sedaya upaya memberikan tumpuan yang penuh sepanjang pengajian.

"Saya juga gembira kerana keputusan memperlahankan kerjaya muzik cukup berbaloi dengan pencapaian ini," katanya yang pernah bergelar naib juara program Idola Kecil.

Azzam mendapat purata nilai gred 3.58 bagi peperiksaan semester satu, yang membolehkan dirinya dipilih sebagai penerima anugerah berkenaan.

Beliau berkata, pencapaian itu juga adalah hasil doa kedua-dua ibu bapa dan bantuan daripada pensyarah serta rakan sekuliah.


AZZAM Sham dipilih sebagai Pelajar Terbaik Fakulti dan penerima Anugerah Dekan Semester Pertama.

"Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada peminat yang terus menyokong dan mendoakan saya," katanya yang kini popular menerusi single Cinta Gila.

Azzam atau nama sebenarnya Muhammad Azzammuddin Lop Hisham, 19, berkata beliau masih menerima undangan nyanyian sekiranya tidak bertindih dengan pengajian.

Menurutnya, latihan nyanyian juga tetap diteruskan, namun keutamaan adalah pada pengajiannya di institusi berkenaan.

"Saya percaya ilmu yang dipelajari akan membantu saya untuk lebih maju dalam bidang muzik sebaik saja tamat pengajian nanti. Nyanyian pula tetap menjadi kerjaya pilihan dan akan diteruskan selagi peminat mahu saya berbuat demikian," katanya.

Berita Harian X