Selasa, 7 March 2017 | 6:15am

Ikhlas pancar kebahagiaan pasangan


Pamerkan keikhlasan bantu perkukuh hubungan suami isteri. - Foto hiasan

Pasangan suami isteri dituntut ikhlas dalam perhubungan agar rumah tangga dibina aman bahagia. Justeru, suami perlu ikhlas bekerja mencari nafkah untuk keluarga dan isteri ikhlas menunaikan tanggungjawab untuk suami dan anak. Ustaz Muhammad Abdullah a-Amin dalam segmen Pesona D'Zahra di IKIMfm menjelaskan pentingnya mempamerkan keikhlasan dan menjaga aib pasangan.

Ikhlas adalah sifat terpuji yang menghiasi peribadi Muslim yang bertakwa kepada Allah SWT dan keikhlasan jugalah menjadi asas penilaian amalan seseorang itu diterima atau sebaliknya di sisi Allah SWT.

Pendek kata, keikhlasan menjadi penentu kejayaan atau kebahagiaan individu di dunia dan akhirat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Pada hal mereka hanya diperintahkan menyembah Allah, dengan ikhlas mentaati-Nya semata-mata kerana (menjalankan) agama dan juga supaya melaksanakan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus (benar)." (Surah al-Bayinnah, ayat 5)

Menerusi rancangan Pesona D'Zahra di IKIMfm, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin menyatakan, apabila kita ikhlas menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam, kerja itu akan menjadi mudah kerana orang yang ikhlas sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah SWT.

Mereka melakukan sesuatu kerja bukan untuk dipuji oleh manusia, tetapi kerana perasaan tanggungjawab dan takut kepada azab jika tidak melaksanakan segala amanah Allah SWT.

Tanggungjawab dimaksudkan termasuk tugas sebagai suami mahupun isteri. Suami bekerja untuk memberi nafkah kepada isteri dan anak, manakala isteri pula menunaikan tanggungjawab untuk suami dan anak.

Menurut Muhammad, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian apabila membabitkan soal keikhlasan bagi menjamin kelangsungan sesebuah rumah tangga. Pertama, ikhlas dengan tidak menafikan hak sebagai suami dan isteri.

Contohnya, dalam urusan pemberian nafkah, walaupun isteri tidak meminta nafkah, ia adalah kewajipan yang mesti ditunaikan oleh suami secara ikhlas. Tanggungjawab memberi nafkah diamanahkan kepada ketua keluarga, maka suami perlu menjaga kebajikan isteri dan anak.

Hargai pemberian

Seterusnya, bersifat ikhlas dengan tidak menafikan aspek kemanusiaan. Disebutkan dalam satu hadis, "Barang siapa yang tidak berterima kasih kepada manusia maka dia tidak bersyukur kepada Allah."

Apabila kita menerima atau memperoleh kebaikan daripada seseorang hendaklah kita berterima kasih dengan segala bentuk pujian dan penghargaan. Jadilah Mukmin sejati yang berterima kasih dalam segala hal.

Apabila mempamerkan sifat ikhlas kepada pasangan, bukan bermakna kita tidak digalakkan untuk bercakap mengenainya. Pasangan suami isteri boleh memilih sama ada untuk bercakap mengenai keikhlasan mereka atau tidak.

Sebenarnya, ia adalah sebahagian daripada interaksi dengan pasangan supaya setiap perkara difahami dengan jelas. Di samping itu, bagi mengukuhkan perhubungan suami isteri supaya terus kekal bahagia, ada kala keikhlasan itu perlu untuk diketahui oleh pasangan masing-masing.

Anak teladani sifat ikhlas

Contohnya, suami menyatakan keikhlasannya memberi hadiah kepada isterinya, maka isteri harus menerima pemberian ikhlas itu. Situasi ini secara tidak langsung memberi satu contoh teladan yang baik apabila anak melihat sifat ikhlas yang terpancar daripada ayah dan ibu mereka.

Sesungguhnya, memiliki sikap ikhlas dianjurkan dalam Islam dan ia disifatkan sebagai sikap terpuji yang dicintai oleh Allah SWT. Bagaimanapun, harus difahami oleh pasangan suami isteri, ikhlas itu perlu bertempat.

Andai niatnya adalah untuk bersifat ikhlas dengan menyatakan kebenaran, tetapi akibatnya boleh menjurus kepada kemudaratan, sewajarnya ia tidak diperkatakan. Selain itu, perkataan berunsur negatif dan melukakan pasangan harus dielakkan.

Terakhir, jangan sesekali membuka keaiban pasangan. Pandanglah yang baik, nescaya pantulannya pun baik juga. Insafilah, manusia tidak akan pernah sempurna. Peliharalah aib orang lain, bukan untuk mengagungkannya, tetapi untuk memelihara diri kita sendiri.

Penulis adalah Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm

Berita Harian X