Sabtu, 4 March 2017 | 12:03am

Ketam Udang Lemak Betutu

RESIPI ayam betutu, antara masakan klasik yang popular di Bali, Indonesia

Mendapat ilham kelazatan resipi berkenaan, pemilik Raul's Cafe by Nisa Bakri mengubahsuai masakan itu daripada ayam kepada makanan laut.

Bagi Puan Sri Shariffa Nisa Syed Hamid, hidangan disediakan dengan cara stim atau dipanggang bersama pelbagai jenis rempah menjadikan ia lazat untuk dinikmati.

Rempah khas yang diubah suai dimasak bersama makanan laut dalam memberikan kepelbagaian rasa dalam makanan.

"Ini adalah resipi istimewa dari saya. Saya menukar menu kepada makanan laut, dengan mencampurkan udang dan ketam sebagai bahan utama.

"Kemanisan udang dan ketam membuatkan menu ini penuh berasa dan sesuai dihidangkan bersama nasi panas," katanya.

Istimewanya menu ini terletak pada rempah dan bahan yang digunakan. Aroma dan rasanya yang sedap pastinya mampu membuka selera anda sekeluarga mahupun untuk dijamu kepada tetamu.

Minggu ini Aroma Kulinari, berkongsi resipi Ketam Udang Lemak Betutu untuk anda cuba sendiri di rumah.


BAHAN yang diperlukan untuk memasak udang ketam lemak bertutu di Menara TH, Uptown 3. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Bahannya:

- 7 biji bawang merah

- 4 biji bawang putih

- 2 batang serai

- 1 sentimeter (sm) kunyit hidup

- 1 (sm) halia

- 1 sm lengkuas

- 4 biji buah keras

- 5 biji cili padi

- 5 biji cili merah

- 1 sudu gula perang

- 4 biji kentang

- 2 biji tomato

- Santan 250 milileter (ml)

- 2 sudu asam Jawa

- 7 ekor ketam - tabur kunyit dan garam kemudian bakar untuk beberapa minit

- 500 gram (g) udang

- 2 sudu minyak

Caranya

1. Kisar bahan itu dan tumis selama 10 minit


KUALA LUMPUR 24 FEBRUARY 2017. Langkah demi langkah memasak udang ketam lemak bertutu di Menara TH, Uptown 3. NSTP/NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN.NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN

2. Masukkan kentang dipotong dadu dan tomato dipotong empat

3. Masukkan dua cawan besar air kemudian santan dan kacau supaya ia tidak berketul

4. Masukkan asam jawa dan renehkan hingga sebati

5. Masukkan cili, ketam dan udang


KUALA LUMPUR 24 FEBRUARY 2017. Langkah demi langkah memasak udang ketam lemak bertutu di Menara TH, Uptown 3. NSTP/NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN.NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN

6. Masukkan garam secukup rasa dan biarkan masak dalam lima minit


UDANG ketam lemak bertutu. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

7. Hias dan hidangkan

INFO: Tip masakan

  • Sesuai dihidang bersama nasi putih dan sambal
  • Di Indonesia, ayam lebih digemari untuk dimasak betutu
  • Untuk membangkitkan aroma ayam betutu kebiasaannya ia dibalut dengan aluminum foil

Berita Harian X