Jumaat, 3 March 2017 | 8:57pm

China dekati generasi muda


YU Zhengsheng. - Foto REUTERS

BEIJING: China berazam meningkatkan kesetiaan generasi muda Taiwan, Hong Kong dan Macau dengan menganjurkan lawatan sambil belajar dan pertukaran pelajar ke Tanah Besar.

Seorang pegawai kanan kerajaan itu berkata, sikap aktivis muda di Hong Kong dan Taiwan kebelakangan ini begitu menjengkelkan apabila berterusan mendesak kerajaan meningkatkan kuasa autonomi dan kemerdekaan, selain menganjurkan pelbagai tunjuk perasaan membantah pengaruh China.

Hong Kong dan Macau, kedua-duanya bekas jajahan British dikembalikan semula kepada pemerintahan China pada tahun 1990-an.

Barisan nasionalis yang tewas dalam perjuangan menentang komunis melarikan diri ke Taiwan pada 1949 dan sejak itu, China tidak pernah menyuarakan hasrat memaksa Taiwan berada di bawah kuasa mereka.

Pemimpin di tangga keempat dalam Parti Komunis, Yu Zhengsheng mengumumkan rancangan meningkatkan tahap kesetiaan dalam kalangan generasi muda di ketiga-tiga negara itu pada majlis pembukaan parlimen di Beijing.

Katanya, tahun ini kerajaan akan menganjurkan lawatan untuk golongan muda ke Tanah Besar China dan mengalami pengalaman berada di sana.

Semua lawatan itu katanya, akan mengukuhkan rasa cinta kepada negara khususnya oleh rakyat Hong Kong dan Macau.

China sentiasa mengesyaki Presiden Taiwan, Tsai Ing-Wen yang juga pemimpin Parti Demokrasi Progresif, menyokong negara itu memperoleh kemerdekaan.

Tsai pula berkata mahu membina keamanan bersama China. - Reuters

Berita Harian X