Jumaat, 3 March 2017 | 1:28pm

Bekas pemimpin UMNO minta jadi KM Sabah


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman bersama sebahagian penerima kunci rumah PPR serta orang ramai di Majlis Perasmian Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Batu Sapi di Kampung Lupak Meluas, Batu Sapi. - Foto Malai Rosmah Tuah

SANDAKAN: Datuk Seri Najib Razak hari ini mendedahkan, seorang bekas menteri Persekutuan dari Sabah, pernah menemuinya dan menyatakan hasrat dilantik menjadi Ketua Menteri negeri itu.

Perdana Menteri bagaimanapun menegaskan, permintaan itu tidak boleh diterima kerana ia adalah cita-cita peribadi individu terbabit, sedangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) ditubuhkan bukannya untuk kepentingan individu mahupun pemimpin tertentu.

"Apabila tak dapat jadi Ketua Menteri, hari ini kata semua tak betul... itu saja (puncanya), bukan soal dasar atau BN tak baik.

"Pada saya, cita-cita peribadi tak boleh mengatasi perjuangan parti politik... mana boleh tubuh parti politik berdasarkan kepada cita-cita peribadi.

"Kita tubuh parti politik atas perjuangan suci, murni, penuh idealisme," katanya ketika berucap merasmikan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi di Kampung Lupak Meluas, Batu Sapi di sini, hari ini.

Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO bagaimanapun tidak menamakan identiti bekas menteri berkenaan.

Sehubungan itu, Najib meminta rakyat tidak mendengar cakap pembangkang yang hanya menghasut rakyat supaya hilang kepercayaan terhadap kerajaan.

"Objektif pembangkang cuma dua iaitu hasut rakyat dan kelirukan rakyat. Kalau tak dapat hasut, sekurang-kurangnya kelirukan... itu mantera pembangkang," katanya.

Berita Harian X