Jumaat, 3 March 2017 | 12:09am

Takwa, iman pelihara hubungan


SETIAP individu berusaha membaiki diri sendiri, tidak menuding jari mencari kesalahan orang lain, bertanggungjawab mengambil iktibar atas apa jua yang berlaku dan banyak berdoa ke arah kebaikan.- Foto hiasan

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya -Hawa), dan juga yang membiakkan daripada keduanya -zuriat keturunan -lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu." (Surah an-Nisaa', ayat 1)

Perintah bertakwa berat untuk dilaksanakan, tetapi itulah yang diingatkan melalui asal penciptaan manusia daripada jiwa yang satu. Peringatan pentingnya takwa ditekankan pada awal dan akhir ayat sebagai isyarat besarnya hak Allah SWT terhadap seluruh hamba-Nya.

Takwa juga diletakkan sama taraf dengan memelihara silaturahim kerana memelihara hubungan sesama manusia penting. Berasal daripada sumber yang satu, manusia dianggap bersaudara, baik dari segi kemanusiaan mahupun keturunan.

Seandainya semua manusia memahami hakikat itu, nescaya mereka akan hidup aman damai dan tidak berlaku peperangan yang memusnahkan serta menghancurkan umat manusia. Hakikatnya, undang-undang tidak dapat dikuatkuasakan sepenuhnya tanpa takwa.

Keturunan daripada Adam

Kebanyakan jumhur ulama menyatakan, yang dimaksudkan dengan satu diri adalah Adam berdasarkan anggapan secara umum yang telah diterima iaitu Nabi Adam sebagai bapa seluruh manusia. Bagaimanapun, Imam Muhammad Abduh berpendapat, zahir ayat ini tidak dapat dijadikan dasar satu diri itu dimaksudkan untuk Nabi Adam.

Namun, dalam al-Quran, tidak ada ayat yang menyanggah atau membenarkan secara tegas pendapat Nabi Adam ialah nenek moyang manusia sehingga pendapat seperti ini tidak mampu lagi menerima pentakwilan.

Ungkapan menggunakan kata-kata wahai anak Adam tidak dianggap sebagai penegasan semua manusia berasal daripada keturunan Adam, tetapi dapat dipandang benar jika ditujukan kepada mereka yang masih hidup semasa turunnya al-Quran daripada keturunan Nabi Adam.

Daripada Nabi Adam dan Hawa, maka lahirlah golongan manusia terdiri daripada lelaki dan perempuan yang keturunannya berasal daripada pasangan berkenaan.

Buat baik kepada keluarga

Terdahulu dinyatakan manusia sesama mereka adalah sama. Masyarakat yang menegakkan keimanan dalam hati akan mewujudkan kerjasama dalam keluarga, keadilan dan persamaan. Islam membina masyarakatnya berasaskan takwa sebagai tapak asas bagi setiap peraturan.

Nik Abdullah Wan Musa dalam Tafsir Al-Quran Al-Hakim menulis, manusia tidak akan berasa rehat dan menikmati ketenangan melainkan dalam keluarganya, negaranya dan perhubungan kasih sayang sesama manusia.

Apabila undang-undang keluarga manusia tersusun secara baik, mereka akan hidup dengan baik dan penuh keseronokan yang berterusan. Inilah syurga dunia iaitu nikmat hidup dengan penuh ketenangan. Maka tidak timbul masalah kepenatan bekerja asalkan hati tenang dan puas.

Ikhlas dalam amalan

Sheikh Al-Maraghy ketika menghuraikan maksud: "Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu," berkata, Allah SWT tempat untuk meminta.

Meminta itu membawa maksud beriman dengan Allah SWT dan mengagungkan-Nya serta takut untuk mensia-siakan hak ahli keluarga. Oleh itu, sambungkan tali kekeluargaan melalui perbuatan yang baik dan janganlah memutuskannya.

Tidak ada yang tersembunyi daripada penglihatan Allah SWT kerana Dia menciptakan syariat untuk manusia seluruhnya bagi kepentingan dan kebahagiaan mereka di dunia juga akhirat.

Ayat ini mengingatkan kita supaya melahirkan keikhlasan dalam setiap amalan kerana Allah SWT sentiasa mengawasi. Justeru, wajarlah manusia bersikap berhati-hati dan mematuhi setiap ketetapan-Nya.

* Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources.

Berita Harian X