Isnin, 27 Februari 2017 | 9:20pm

UEM Sunrise catat jualan RM1.4b tahun lalu

KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise) mencatat jualan berjumlah RM1.4 bilion tahun lalu, 37 peratus lebih tinggi berbanding sasaran jualan RM1 bilion yang ditetapkan pemaju hartanah tempatan itu.

UEM Sunrise dalam satu kenyataan berkata, jualan lebih tinggi itu disokong angka positif daripada projek di Wilayah Selatan yang menyumbang RM686.8 juta atau 50 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan yang diraih sepanjang tahun lalu.

"Projek hartanah bercampur, Almás di Puteri Harbour merekodkan jualan tertinggi kepada RM368.7 juta, diikuti Melia Residences, hartanah bertanah pertama syarikat di Gerbang Nusajaya berjumlah RM126.6 juta," katanya.

Hartanah di Wilayah Tengah dan luar negara masing-masing menyumbang jumlah jualan 25 peratus daripada keseluruhan jualan tahun lalu.

"Serene Heights Bangi, projek perbandaran di Selangor menjadi penyumbang utama kepada jualan di Wilayah Tengah, manakala Carlton Gardens dan Royal Exhibition Centre di Melbourne, Australia menjadi penyumbang utama kepada jualan luar negara," katanya.

UEM Sunrise berkata, Lembaga Pengarah tidak mencadangkan sebarang dividen akhir memandangkan syarikat itu berhasrat untuk mengekalkan imbangan tunai bagi membolehkannya meningkatkan simpanan tanah berpotensi dalam jangka masa terdekat untuk pertumbuhan masa depan.

Bagi prestasi kewangan berakhir 31 Disember 2016, UEM Sunrise meraih pendapatan berjumlah RM1.84 bilion, meningkat kira-kira lima peratus berbanding RM1.75 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan, bagaimanapun susut kepada RM147.3 juta bagi tahun dikaji, berbanding RM257.2 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

"Penyusutan sebanyak kira-kira 43 peratus disebabkan oleh prestasi lemah dalam syarikat usaha sama dan bersekutu," katanya.

Berita Harian X