Ahad, 26 Februari 2017 | 6:45am

Kanun Melaka Perlembagaan Tanah Melayu

SEBELUM pergi kepada perbahasan konsep kedaulatan watan, ada baiknya kita memahami terlebih dahulu status Kanun Melaka. Seperti dijelaskan, kedaulatan itu, political and legal concept relating to ultimate authority in a state.

Pakar perundangan seperti Harding bersetuju bahawa asas perlembagaan negeri-negeri Melayu berakar-umbi daripada Kesultanan Melayu Melaka.

Menurut pengkaji undang-undang Melaka terkenal, iaitu Liaw Yock Fang, Kanun Melaka mula disusun pada masa pemerintahan Sultan Muhammad Shah (1424 hingga 1444 Masehi) dan ditambah dari semasa ke semasa sehingga abad ke-19 Masehi. Peruntukan Kanun Melaka terdiri daripada undang-undang perlembagaan, jenayah, tanah, perhambaan, kontrak, perwakilan, keluarga, laut dan Islam. Undang-undang Islam pula mengandungi hukum jual beli, tatacara pengadilan, hukum qisas dan hukum jenayah Islam atau hudud.

Pengiktirafan yang sama diberi oleh pegawai British-Malaya, antaranya Newbold. Beliau mengakui bahawa undang-undang raja yang dilaksanakan oleh kerajaan- Melayu walaupun mempunyai perbezaan antara satu sama lain, adalah bersumberkan Perlembagaan Melaka yang diwarisi daripada Kesultanan Melayu Melaka.

Menurut pakar sejarah tempatan, struktur kerajaan tradisi Melaka bermula daripada seorang pemerintah, rakyat mesti mentaatinya maka sebagai balasan, seorang raja ditegah membuat aib kepada rakyatnya. Konsep itu berkait rapat dengan baiah antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun. Bendahara boleh dikatakan sebagai seorang Perdana Menteri pada hari ini. Bendahara melaksanakan tugas pentadbiran dan diplomatik serta bertanggungjawab dalam urusan dalam dan luar negara.

Pelabuhan terkaya di dunia

Pembesar utama lain adalah Temenggong, Laksamana dan Penghulu Bendahari, ada juga disebut pembesar yang digelar Perdana Menteri. Menurut Lopez, ulama amat dihormati hingga ada berstatus pembesar negeri.

Pengurusan negeri berfungsi dengan baik sehingga Kerajaan Empayar Melayu Melaka berjaya mencapai taraf intreport dan pelabuhan terkaya di dunia. Kejayaan pengurusan pelabuhan didukung oleh peranan Temenggong, Laksamana, Shahbandar, Orang Laut dan undang-undang Laut Melaka. Kelangsungan aktiviti perdagangan bertaraf dunia melalui maritim sebagai kegiatan ekonomi utama Kerajaan Empayar Melayu Melaka secara terkawal, bukan sahaja berpusat di Pelabuhan Melaka, bahkan pelabuhan lain sepanjang Laut Melayu dan penguatkuasaan undang-undang laut membuktikan betapa efisiennya tata-pengurusan pelabuhan dan perdagangan.

Kanun Melaka bukan hanya berkuat kuasa di Kota Melaka bahkan semua jajahan takluk dan negeri lindungan Kerajaan Empayar Melayu Melaka. Kesultanan Melayu Melaka meliputi hampir semua wilayah Semenanjung Tanah Melayu dan bahagian pesisir pantai Pulau Sumatera. Oleh kerana wujudnya struktur yang memenuhi syarat sebuah pemerintahan, maka tidak boleh dinafikan bahawa Kerajaan Empayar Melayu Melaka adalah sebuah kesultanan atau kerajaan berdaulat.

Selepas Kota Melaka iaitu pusat pemerintahan Kerajaan Empayar Melayu Melaka ditawan oleh Portugis, Sultan Mahmud mengumpul semula kekuatan dan melancarkan beberapa serangan termasuk bekerjasama dengan Belanda untuk merampas kembali Kota Melaka. Negeri taklukan dan lindungan Kerajaan Empayar Melayu Melaka masih menumpahkan taat setia kepada Sultan Mahmud, meneruskan bayaran ufti dan menyertai baginda untuk mengusir Portugis.

Sultan Mahmud berjaya membangunkan semula pusat pemerintahan Kerajaan Empayar Melayu Melaka di Bentan, sebelum berundur ke Kampar, Pulau Sumatera. Pada hakikatnya, Kerajaan Empayar Melayu Melaka diasaskan pada sekitar 1400 sehingga ia diwariskan oleh Sultan Mahmud (1488-1511, 1516-1528) melalui dua jalur; pertama, anakanda baginda, Sultan Alauddin yang mewarisi bahagian terbesar Empayar Melaka dan mendirikan pusat pemerintahan baharu di Johor sehingga mangkatnya Sultan Mahmud II (dikenali juga sebagai Sultan Mahmud Mangkat Dijulang) di Kota Tinggi, Johor, pada 1699.

Kedua, anakanda baginda, Sultan Muzaffar yang ditabal sebagai Raja Perak dan kerajaan baginda berterusan sehingga hari ini di bawah pemerintahan Sultan Nazrin Muizuddin al-Maghfur lahu. Pendirian ini berlawanan dengan tanggapan lazim yang menganggap Kesultanan Melayu Melaka berakhir pada 1511 akibat tewas di tangan Portugis.

Diwarisi pemerintah tempatan

Selepas kemangkatan Sultan Mahmud II pada 1699, Kerajaan Empayar Melayu Melaka mula terbubar, namun kedaulatannya terus diwarisi oleh pemerintah tempatan. Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu muncul sebagai kerajaan Melayu yang bebas dan berdaulat.

Kanun Melaka terus diterima pakai oleh Kerajaan Melayu di atas. Kelangsungan Kanun Melaka dapat dilihat pada Undang-Undang 99 Perak, Hukum Kanun Pahang, Undang-Undang Kedah, Undang-Undang Johor dan Undang-Undang Sungai Ujung.

Ini membuktikan Kerajaan Melayu meneruskan pelaksanaan Kanun Melaka.

Daripada fakta yang tersimpan dalam histografi tempatan dan sumber luar negara, sebahagiannya telah dikemukakan di atas, amat jelas bahawa Kanun Melaka adalah Perlembagaan bertulis Tanah Melayu. Keberadaan sebuah empayar yang diiktiraf dunia, pemerintahan adil dan pengurusan sebuah pelabuhan terkaya yang efisien adalah bukti jelas bahawa Tanah Melayu sudah diperintah melalui Perlembagaan dan undang-undang, yang sebahagiannya dikenali sebagai adat Melayu.

Berita Harian X