Rabu, 22 Februari 2017 | 9:53pm

Naza KIA mahu buka 4 lagi Pusat 3S

SAMSON (kiri) pada majlis pembukaan Pusat 3S KIA di Jalan Pahang, baru-baru ini.

NAZA KIA Malaysia Sdn Bhd dijangka mampu memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggannya di utara selepas membuka Pusat Jualan, Servis dan Alat Ganti (3S) baharunya di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Automotif NAZA Corporation Holdings, Datuk Samson Anand George, berkata ruang pameran terkininya itu mempunyai keluasan kira-kira 16,200 kaki persegi bagi memberi lebih keselesaan kepada pengunjung dan pelanggan.

Katanya, ruang pameran yang dimiliki syarikat pengedar MPV Car Service Sdn. Bhd itu mampu mempamerkan empat kenderaan pada setiap masa, selain pusat servis mampu melakukan kerja penyelenggaraan bagi 14 kenderaan serentak.

"Saya begitu kagum dengan pengedar di sini kerana sanggup melabur sehingga RM1.5 juta bagi membangunkan Pusat 3S yang lengkap termasuk mempunyai ruang jualan, khidmat selenggara kenderaan serta kemudahan alat gantian.

"Selaku antara peneraju jenama antarabangsa bagi pasaran tempatan, Naza KIA Malaysia berharap dapat memberi perkhidmatan terbaik terutama kepada pelanggan sekitar Jalan Pahang, Jalan Genting Kelang, Setapak dan Titiwangsa dengan pembukaan pusat baharu ini," katanya dalam satu kenyataan.

PUSAT 3S KIA di Jalan Pahang.

Pusat 3S itu turut dilengkapi dengan ruangan menunggu yang selesa berserta dengan kemudahan Wifi.

Samson berkata, selepas pembukaan Pusat 3S Jalan Pahang, pihaknya akan membuka empat lagi cawangan baharu Pusat 3S tahun ini di seluruh negara sebagai salah satu transformasi menaik taraf cawangan Kia kepada Pusat 3S.

"Rangkaian kami akan diperkukuhkan lagi dengan pengenalan lima cawangan baharu ini. Kami akan memperkemas dan meningkatkan standard di seluruh rangkaian secara berterusan dengan mensasarkan peningkatan kualiti dan kecekapan.

"Melalui transformasi ini, pelanggan akan dapat menikmati servis luar biasa jualan kenderaan, tempoh penghantaran serta perkhidmatan selepas jualan yang lebih pantas," katanya.

Berita Harian X