Selasa, 21 Februari 2017 | 8:37pm

UEM Sunrise bangun semula tanah MCOBA RM750 juta

KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Sunrise Innovation Sdn Bhd (SISB) akan memajukan projek pembangunan bercampur di tanah milik Persatuan Murid-Murid Tua Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCOBA) yang terletak bersebelahan Jalan Syed Putra, Seputeh di sini.

Anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) bagi projek di kawasan dengan keluasan keseluruhan 1.06 hektar itu adalah lebih RM750 juta. Difahamkan, MCOBA memiliki empat lot tanah di sepanjang Jalan Syed Putra, yang mana menempatkan bangunan MCOBA sedia ada di salah satu lot berkenaan.

Berdasarkan perjanjian dimeterai antara SISB dan MCOBA, anak syarikat milik penuh UEM Sunrise itu akan membangunkan semula tanah yang mana terletaknya Bangunan MCOBA dengan membina bangunan pejabat baharu MCOBA dan dewan bankuet dengan kapasiti 1,200 orang.

SISB juga akan membangunkan dua blok apartmen servis berserta kemudahan sokongan di tanah berkenaan dengan saiz unit antara 1,100 kaki persegi hingga 1,500 kaki persegi.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib, berkata projek berkenaan bukan saja membantu mengembangkan portfolio hartanah sedia ada UEM Sunrise di Wilayah Tengah, tetapi juga menawarkan peluang kepada syarikat untuk memanfaatkan kitaran meningkat selanjutnya pasaran hartanah.

Beliau berkata, pihaknya amat teruja untuk memulakan usaha sinergi itu dengan MCOBA.

Katanya, Seputeh adalah kawasan perumahan matang, dihubungkan dengan pusat bandar Kuala Lumpur dan kawasan bandar yang lain melalui Jalan Syed Putra.

"Lokasi strategik tanah MCOBA ini akan menarik perhatian penduduk bandar berikutan kedudukannya berhampiran dengan kemudahan dan hab komersial seperti Mid Valley City dan KL Sentral.

"Berdasarkan kedudukannya yang terletak di tengah-tengah dan akses mudah ke kawasan tumpuan sekitarnya, pembangunan itu akan menjadi mercu tanda baharu setempat," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Presiden MCOBA, Tunku Datuk Ahmad Burhanuddin Tunku Datuk Seri Adnan, berkata kerjasama itu akan meningkatkan nilai aset persatuan dan menjana pendapatan mampan kepada MCOBA.

"Pembangunan ini adalah bagi masa depan kami seiring usaha meneruskan tradisi dan komitmen kami untuk menjadi sebahagian sistem sokongan pemegang kepentingan dalam mewujudkan pemimpin dan ketua industri Malaysia," katanya.

INFO

* UEM Sunrise adalah antara peneraju pemaju hartanah di Malaysia

* Ia adalah syarikat utama bagi perniagaan pembangunan hartanah dan perbandaran UEM Group Bhd dan Khazanah Nasional Bhd

* UEM Group dimiliki oleh Khazanah

* MCOBA ditubuhkan pada 1929

Berita Harian X