Ahad, 19 Februari 2017 | 2:15pm

Terengganu bakal tubuh pusat transformasi ekonomi wanita


PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Roslee Daud. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri merancang mewujudkan Pusat Transformasi Ekonomi Wanita (PTEW) dalam usaha menangani kos sara hidup semakin meningkat, selain melahirkan lebih ramai wanita dalam industri keusahawanan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Roslee Daud berkata, pusat berkenaan akan mengumpul usahawan wanita di negeri ini dan menyediakan program pendidikan yang bersesuaian bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

"Buat masa ini, kita masih lagi mengkaji struktur dan lokasi sesuai. Pembangunan sesuatu pusat transformasi bukan sahaja memerlukan kos, malah pembabitan dan kesungguhan wanita sendiri untuk menyertai program yang dirancang kerajaan," katanya selepas Program Kursus Kembara Wacana Gender: Transformasi Ekonomi Wanita di Anjung Cakna Komuniti, Pejabat Pembangunan Wanita Negeri, Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini, hari ini.

Roslee berkata, buat masa ini pelbagai program keusahawanan sudah dilaksanakan kerajaan negeri untuk memberi kesedaran kepada wanita terutama ibu tunggal dan golongan belia.

"Selain mampu merapatkan hubungan, ia turut memberi ruang peserta berkongsi pengalaman serta mengeratkan kerjasama kerajaan dan komuniti.

"Kerajaan negeri komited untuk menambah bilangan usahawan wanita dengan menyediakan ruang niaga secara percuma kepada mereka. Terbaru, ruang niaga UTC diberi secara percuma dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Wanita negeri, bermula bulan lalu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Madeline Berma berkata Kembara Wacana itu adalah yang kedua selepas diadakan di Sabah.

Katanya, program wacana itu diharap dapat memberi kesedaran mengenai kepentingan peranan gender dalam institusi dan komuniti, sama ada di bandar atau luar bandar.

Berita Harian X