Rabu, 15 Februari 2017 | 7:03pm

Boustead Plantations raih untung bersih RM216j

KUALA LUMPUR: Boustead Plantations Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM216 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016, meningkat daripada RM72 juta tahun sebelumnya.

Keuntungan sebelum cukai syarikat perladangan itu meningkat kepada RM276 juta, dengan pendapatannya dalam tahun dikaji menokok kepada RM708 juta.

Keuntungan lebih tinggi pada tahun kewangan dikaji dicapai khususnya daripada hasil yang direalisasi menerusi pelupusan tanah di Kulaijaya, Johor serta pelupusan Boustead Sedili Sdn Bhd bernilai RM158 juta, sambil harga produk sawit lebih tinggi turut menyumbang kepada keuntungan lebih kukuh.

Harga jualan purata bagi minyak sawit mentah (MSM) pada 2016 ialah RM2,584 setan, meningkat 20 peratus berbanding RM2,148 setan, manakala purata harga isirung sawit melonjak 60 peratus kepada RM2,460 setan.

Pengeluaran tandan buah segar (FFB) merosot kepada 908,576 tan, khususnya disebabkan cuaca buruk dibawa fenomena El Nino yang berpanjangan, pertikaian tanah berlarutan di Sarawak dan kekurangan tenaga buruh.

Kadar purata perahan minyak adalah 21.5 peratus manakala kadar perahan isirung ialah 4.4 peratus, lebih rendah sedikit berbanding tahun sebelumnya.

Naib Pengerusi Boustead Plantations, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, berkata pihaknya gembira dengan prestasi syarikat pada tahun 2016 kerana bukan saja memanfaatkan harga MSM yang lebih tinggi, malah pelupusan tanah ternyata memberikan sumbangan positif terhadap tahap keuntungan.

"Dalam tempoh mendatang, prospek syarikat adalah positif memandangkan harga MSM dijangka kekal tinggi pada suku pertama tahun 2017, terutama disumbangkan oleh tahap pengeluaran lebih rendah dan stok minyak sawit yang berkurangan.

"Bagaimanapun, kami sedar keadaan mungkin berubah pada separuh kedua tahun dilaporkan, berasaskan jangkaan hasil tuaian minyak sawit yang besar di Malaysia dan Indonesia," katanya dalam kenyataan, semalam.

Sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat untuk menambah nilai bagi pemegang saham, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim keempat 3.5 sen sesaham.

Dividen akan dibayar pada 16 Mac 2017 kepada pemegang saham yang tersenarai dalam daftar pada 3 Mac 2017.

Ini menjadikan dividen terkumpul yang dibayar berjumlah 14.5 sen sesaham.

INFO

*Semenanjung Malaysia menjadi penyumbang utama dengan keuntungan RM74 juta

Berita Harian X