Selasa, 14 Februari 2017 | 4:16pm

Bapa curi mainan untuk anak dipenjara


TERTUDUH, Chan Kok Kiat, 36, (kiri) diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan cubaan mencuri lima barang mainan di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

AYER KEROH: Seorang bapa yang mengaku bersalah mencuri dan cuba mencuri barang permainan untuk hadiah hari jadi anak lelakinya, dihukum penjara sehari dan didenda RM1,600 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Mohd Firdaus Saleh menjatuhkan hukuman itu ke atas Chan Kok Kiat, 36, dari Machap Umboo, Alor Gajah, selepas tertuduh membuat pengakuan itu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri dua motosikal mainan bernilai RM109.80 milik Toy R Us (M) Sdn Bhd di tingkat 2, pusat beli-belah Dataran Pahlawan, jam 6.30 petang, pada 31 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa cuba mencuri dua motosikal dan sebuah kereta mainan bernilai RM209.75 di premis, waktu dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380/511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan tempoh pemenjaraan tidak boleh melebihi separuh daripada tempoh maksimum hukuman asal.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Shazreen Nadia Saaban yang melakukan pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal ke atas tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguambela Haslinda Abu Bakar merayu hukuman diringankan dengan alasan kesalahan kali pertama dan terdesak untuk memberi barang mainan kepada anaknya sempena hadiah hari jadi walaupun tiada wang.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM1,000 bagi pertuduhan pertama, manakala denda RM600 bagi pertuduhan kedua.

Berita Harian X