Selasa, 23 Disember 2014 | 8:03am

Harapan DBP kembalikan zaman keemasan penerbitan buku


KETUA Pengarah DBP, Datuk Dr Awang Sariyan (kiri) bersama Zam Ismail pada sidang media SEA Write Award 2014 (Malaysia di Menara DBP.

Pengambilalihan kembali fungsi komersial oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta pemilihan Malaysia sebagai Negara Tema Pesta Buku Antarabangsa Tokyo (TIBF) 2014, mencerminkan harapan kepada industri buku dan ranah kesusasteraan di sebalik polemik yang berlaku dalam penganugerahan.

Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi anjuran Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan BH pula menjadi platform terbaik mengangkat penulis muda bawah 45 tahun, selain diteruskan dengan penganjuran edisi kedua yang lebih terbuka sifatnya.

Bagaimanapun, berakhirnya tempoh konsesi penswastaan membabitkan percetakan dan penerbitan DBP selama 12 tahun yang diberikan kepada Dawama Sdn Bhd pada 31 Ogos lalu dan keputusan jemaah menteri untuk tidak menyambungnya menjadi peristiwa paling penting pada tahun ini.

Keputusan yang dibuat oleh kerajaan itu bukan saja disambut baik oleh industri buku termasuk persatuan pencetak, pengedar dan penerbit, bahkan ditunggu oleh pengarang sastera tanah air.

Ia diharap membuka lembaran baharu pada tahun 2015, tetapi DBP perlu merancang strategi bukan saja dalam konteks penerbitan karya termasuk sastera, bahkan menyemarakkan kembali hubungannya dengan pengarang berikutan masalah birokrasi dalam penerbitan, kelesuan pemasaran dan ketiadaan program kebukuan yang menonjol.

ITBM berjaya naikkan nama negara

Ia tentu meniupkan harapan kepada semua pihak supaya DBP dapat mengulangi zaman keemasan penerbitan buku dan program penataran berkaitan perbukuan tanah air sebelum alaf baharu.

Apatah lagi potensi buku Malaysia khususnya karya sastera sangat besar pada pentas antarabangsa seperti yang dibuktikan melalui kejayaan negara ini melalui ITBM yang menjadi tumpuan pada TIBF 2014 di Tokyo, Julai lalu.

Penyertaan Malaysia dalam TIBF 2014 itu, dianggap pencapaian terbaik Malaysia sejak menyertainya empat tahun lalu yang bermula dengan gerai biasa tetapi berjaya tampil sebagai Pavilion Malaysia yang menarik pengunjung dan pemain industri buku yang mendapatkan maklumat mengenai bahan bacaan ditawarkan negara ini.


MUHYIDDIN menyampaikan pingat, plak dan wang tunai RM15,000 kepada pemenang tempat pertama kategori Novel, Wan Nor Azriq Mokhtar pada Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Penulisan ITBM-Pena-BH di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Sasaran transaksi RM6 juta juga dicapai melalui dagangan hak cipta buku sepanjang TIBF 2014 termasuk berjaya mendapat penerbit bersama untuk mengeluarkan buku dan e-buku bagi 21 judul buku kanak-kanak Malaysia yang diterjemah ke bahasa Jepun sehingga dipuji oleh penganjur pesta buku terbesar di Asia itu.

Kejayaan itu sewajarnya membuka mata pihak berkepentingan dalam perbukuan termasuk kerajaan dan swasta untuk meneroka pasaran antarabangsa, sekali gus merangka strategi untuk tampil sebagai negara tema termasuk di Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt, Jerman yang paling berprestij.

Kementerian, badan berkanun dan penerbit tidak boleh tampil sebagai entiti berasingan dalam pesta buku antarabangsa dengan mengulangi pepatah enau melepaskan pucuk masing-masing, sebaliknya membentuk platform strategik serta memiliki dana yang besar.

Kerjasama itu juga boleh mengambil kira pengalaman penganjur pesta buku tanah air seperti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) dengan penganjuran pada tahun ini menarik 1.8 juta pengunjung.

Negara tidak ketandusan penulis muda

Penganjuran sayembara penulisan dalam bentuk buku membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), persatuan penulis dan media juga membuktikan Malaysia tidak ketandusan penulis muda di sebalik ruang penerbitan yang terhad.

Sayembara yang bernilai keseluruhan RM130,000 itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya, Januari lalu, turut disusuli dengan pengumuman peruntukan tambahan RM5 juta untuk membolehkan lebih banyak karya asli sastera dihasilkan penulis tempatan.

Penganjuran acara sastera juga perlu membabitkan entiti di luar lingkarannya seperti yang dibuktikan melalui Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) pada Oktober lalu, yang menampilkan kerjasama dengan syarikat pegangan pelaburan termasuk pembangunan bandar dan pembinaan.

Dalam konteks pengiktirafan sastera, pengarang dan penyair, Md Ismail Jamjam @ Zamzam atau lebih dikenali Zam Ismail, dipilih menerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2014.


TAN Sri Johan Jaaffar menyampaikan anugerah kepada pemenang tempat ketiga kategori fiksyen, kepada penulis buku Playboy Itu Suami Aku, Sharifah Nurilyana Syed Fesal.

Zam Ismail, 71, adalah penerima ke-35 pengiktirafan tahunan terbabit yang diberikan oleh Kerajaan Thailand kepada penyair dan pengarang Asia Tenggara sejak tahun 1979.

Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2013 yang diumumkan pada bulan lalu pula, menyaksikan kebangkitan penulis muda yang mengungguli hadiah utama dalam acara yang memberi pengiktirafan kepada karya sastera kebangsaan dalam pelbagai genre itu.

Tidak hanya sastera, karya popular turut mendapat pengiktirafan melalui penganjuran Anugerah Pilihan Pembaca POPULAR-BH 2014 yang menggunakan mekanisme pengundian pembaca.

Penganugerahan 2014 ditutup dengan Anugerah Buku Negara 2014 di Kuala Lumpur, pertengahan bulan ini, sekali gus bertujuan mengiktiraf sumbangan pemain industri buku khususnya penulis, penerbit, pelukis ilustrasi dan editor karya pelbagai genre termasuk umum, agama, sastera serta terjemahan.

Bagaimanapun, anugerah dan hadiah sastera serta buku itu tidak sunyi daripada kritikan dan polemik yang mendesak pihak berkepentingan untuk menganjurkan forum atau sidang meja bulat untuk menambahbaikkan mekanisme penjurian dan penilaian.

Berita Harian X