Isnin, 22 Disember 2014 | 6:41pm

Mayat lelaki ditemui terapung di Sungai Perlis

KANGAR: Mayat seorang lelaki dipercayai warga emas ditemui terapung di Sungai Perlis, berdekatan simpang tiga Jalan Jubli Perak, di sini, petang tadi.

Mayat lelaki yang berbaju kemeja bercorak kotak-kotak dan berseluar panjang itu ditemui orang ramai kira-kira jam 4.30 petang, bersama sebuah beg dipercayai milik mangsa di sungai terbabit, berdekatan kawasan belakang pasar lama Kangar di sini.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kangar, Asisten Superintendan Sabtu Md Ali, mengesahkan penemuan mayat lelaki berkenaan yang sehingga kini belum dapat dipastikan identitinya.

Berdasarkan siasatan, katanya tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersama mangsa, namun hasil maklumat orang ramai di sekitar tempat ini, rata-ratanya mendakwa sering ternampak lelaki itu mengutip barangan terbuang di kawasan ini.

"Kita percayai lelaki itu berketurunan Cina dan berusia lebih 60 tahun... mangsa mungkin tergelincir dan terjatuh ke sungai, lalu lemas berdasarkan kesan tanah yang ditemui pada selipar yang dipakainya.

"Setakat ini tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian itu dan kes kita klasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Mayat lelaki berkenaan kemudian dikeluarkan dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kangar kira-kira sejam kemudian sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, untuk bedah siasat.

Berita Harian X