Sabtu, 11 Februari 2017 | 6:05am

Mungkinkah Spurs terus kekalkan Liverpool 'dalam gua'?


PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp (kiri) dan pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino. - Foto Reuters

KOLUM APA KATA EPL

Beberapa rakan bertanya kepada penulis mengenai ramalan nasib Liverpool minggu ini, selepas tewas lagi dengan terbaru di tangan Hull City dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu lalu.

Berat sungguh nak jawab soalan itu. Namun saya mengambil jalan selamat dengan mengatakan The Reds masih ada harapan. Kalau bukan trofi kejuaraan EPL, sekurang-kurangnya layak ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Namun, saya kata, semuanya bergantung kepada kelab itu sendiri dan pengendalinya, Jurgen Klopp dalam mengharungi baki 14 aksi lagi bermula menentang Tottenham Hotspur hari ini.

Sepanjang lebih dua minggu lalu, Liverpool melalui detik yang mengecewakan. Kemerosotan itu jelas menimbulkan rasa marah dan tidak puas hati penyokong tegar kelab ini di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Pasukan berkenaan sudah kehilangan dua daripada tiga piala untuk diburu musim ini susulan tersingkir daripada saingan Piala Liga dan Piala FA. Mereka yang tidak layak beraksi di Eropah, kini hanya memiliki kejuaraan EPL untuk difokuskan.

Selepas tewas 2-0 kepada Hull, kelihatannya harapan menggunung itu agak pudar. Kekalahan memalukan itu meletakkan The Reds ketinggalan 13 mata di belakang Chelsea selaku pendahulu tatkala saingan berbaki 14.

Dan keputusan itu juga terus meletakkan mereka 'dalam gua' untuk satu minggu lagi.

Minggu ini, Klopp dan pasukannya menanti kunjungan Spurs di Anfield. Bagaimana peluang mereka? Melihat prestasi semasa lawannya itu yang berada pada kedudukan kedua dalam carta liga ketika ini, harapan The Reds mencatat kemenangan sukar.

Namun sesuatu yang pelik mengenai prestasi pasukan bimbingan Klopp ini yang hangat diperkatakan ialah mengenai persembahan mereka apabila berdepan pasukan lemah dan kuat.

Kelab ini kelihatan 'gagah' apabila bertemu pasukan kuat seperti Chelsea (1-1) dan Manchester United (1-1), namun menjadi 'lembik' apabila bertemu pasukan lemah seperti Burnley (tewas 2-0) dan Hull City (tewas 2-0).

Mungkinkah situasi itu akan berulang malam ini? Kita sama-sama saksikan nanti.

Sementara itu, Tottenham dilihat sangat teruja meleburkan harapan tipis Liverpool dalam saingan EPL. Mereka yang tidak pernah tewas dalam sembilan aksi lalu, kini muncul sebagai kelab paling berpeluang menyekat Chelsea daripada dinobat juara.

Jiran Arsenal di kota London itu setakat ini meninggalkan Spurs dengan kelebihan sembilan mata di persada EPL. Selepas 24 perlawanan, Tottenham kini menetapkan misi bukan saja merapati Chelsea malah menjarakkan kedudukan dengan pesaing lain.

Namun andai melihat melihat kepada pencapaian lalu, kelebihan memihak kepada Liverpool. Mengikut statistik EPL, dalam 49 pertemuan lalu, mereka menang sebanyak 29 kali berbanding 13 oleh Tottenham.

Dalam lima pertemuan terakhir kedua-dua pasukan ini, mereka terikat tiga kali manakala dua lagi dimenangi Liverpool. Kemenangan The Reds dicatat pada 31 Ogos 2014 (3-0) ketika saingan di White Hart Lane dan 3-2 di Anfield pada 10 Februari 2015.

Tiga keputusan berakhir seri dicatatkan di White Hart Lane pada 17 Oktober 2015 iaitu 0-0, diikuti di Anfield pada 2 April 2016 (1-1) dan 27 Ogos 2016 di White Hart Lane (1-1).

Dalam pada itu, selepas 24 perlawanan, Chelsea yang terus gah di puncak liga dengan himpunan 59 mata, dijangka tiada masalah mengutip mata penuh apabila berkunjung ke Burnley pada Ahad ini.

Begitu juga City yang berada di tangga ketiga ini yang bertemu Bournemouth pada awal pagi Selasa untuk terus menekan Spurs dan The Blues manakala Arsenal dijangka berdepan laluan sukar untuk bangkit dari dua kekalahan berturut-turut apabila berkunjung ke Hull City hari ini.

United pula dijangka tiada masalah mengutip mata penuh apabila menyambut kunjungan Watford di Old Trafford bagi memburu tempat ke Liga Juara-Juara musim depan selepas menang selesa ke atas Leicester City minggu lalu. Selamat menonton.

Ramalan Minggu ke-25:

Arsenal 1 - Hull City 2

Stoke City 1 - Crystal Palace 1

Man United 4 - Watford 0

Middlesbrough 1 - Everton 3

West Ham 2 - West Brom 2

Sunderland 1 - Southampton 2

Liverpool 1 - Tottenham 1

Burnley FC 1 - Chelsea 4

Swansea City 1 - Leicester City 2

Bournemouth 0 - Man City 4

* Penulis - Amirullah Andi Nur adalah Penolong Pengarang Sukan BH

Berita Harian X