Jumaat, 10 Februari 2017 | 4:51pm

PTPTN: USIM sedia tangguh yuran pelajar

BANDAR BARU NILAI: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mempertimbang untuk menangguhkan yuran penuntut yang terjejas dengan kelewatan pembayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).


Hassan Basri Awang Mat Dahan

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, berkata pihaknya mengkaji mengambil pendekatan itu bagi urusan berkaitan kewangan pelajar terbabit supaya tidak menjejaskan pembelajaran.

"Kita prihatin terhadap nasib pelajar yang mengalami kesulitan berikutan kelewatan pembayaran pinjaman berkenaan.

"Antara yang dipertimbangkan adalah bayaran yuran pengajian, penginapan dan peperiksaan. Pelajar boleh membuat bayaran selepas menerima pinjaman," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, USIM berharap PTPTN mengambil tindakan segera dan tidak menunggu lama untuk menyelesaikan masalah itu.

Timbalan Ketua Eksekutif PTPTN, Mastura Mohd Khalid, dilaporkan berkata, penuntut 11 universiti awam (UA) berdepan kelewatan pembayaran pinjaman PTPTN kerana agensi itu belum menerima butiran pengesahan status pengajian pelajar.

Berita Harian X