Selasa, 7 Februari 2017 | 5:18pm

Pelaburan mega Forest City jana pertumbuhan 'ekonomi hijau'


LAKARAN artis projek Forest City di Iskandar Malaysia yang menarik pelabur daripada dalam dan luar negara. - Foto hiasan

DAKWAAN baru-baru ini oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kononnya langkah kerajaan membina Forest City membuka ruang kepada China menjajah, malah menjual maruah atau kedaulatan Malaysia menarik perhatian orang ramai kerana menimbulkan beberapa persoalan tertentu yang sebenarnya tidak wajar.

Tun Dr Mahathir yang kini Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) juga mendakwa hampir 700,000 warga China bakal menetap di kawasan perumahan Forest City dan diberi status warganegara supaya mereka boleh mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

Projek Forest City adalah projek pembinaan sebuah bandar pintar bersifat futuristik, atas empat buah pulau buatan tanah tambak daripada laut meliputi kawasan seluas 3,424 ekar di kawasan Pembangunan Koridor Iskandar, Johor, berhampiran Singapura.

Projek ini dijangka siap dalam tempoh 20 tahun membabitkan kos RM100 bilion, satu pembangunan hartanah menyediakan pelbagai kemudahan termasuk 700,000 unit perumahan serba moden, pejabat, pusat beli-belah raksasa, pusat hiburan, pusat rekreasi, pusat latihan dan pendidikan, sekolah antarabangsa, hotel, pusat kesihatan, hospital, pusat konvensyen, industri pembuatan bertaraf dunia malah pejabat imigresen tersendiri.

Tarik pelabur antarabangsa

Projek ini adalah usaha bersama antara Syarikat Country Garden Holdings Co Ltd, sebuah syarikat pemaju hartanah gergasi pemilik Kerajaan China yang berdaftar dalam Bursa Saham Hong Kong dan Syarikat Esplanade Danga 88 Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), yang pernah memajukan projek Country Garden Pacific View (CGPV) di Danga Bay, Johor.

Sehingga kini projek itu dilapor menarik pelaburan AS$10 bilion (RM44.3 bilion) dilabur 36 syarikat antarabangsa, termasuk tujuh syarikat terkemuka dan bertaraf dunia yang tersenarai dalam Fortune 500 seperti Huawei, Cisco, Accenture, Midea, China Construction Steel Structure Corporation, Deutsche Bank (Asia Pacific) dan Bank of China (Malaysia).

Penyertaan syarikat berkenaan dijangka membantu meningkatkan ekonomi dan menjana peluang pekerjaan. Apabila projek ini selesai pada 2035, pelaburan luar negara sebanyak AS$42 bilion (RM186 bilion) dijangka dilaburkan dan hampir 220,000 peluang pekerjaan disediakan.

Projek ini bukan sahaja akan memajukan sektor pelancongan yang akan membantu kemasukan wang asing malah akan meningkatkan hasil kewangan negara.

Ia juga bersifat pembangunan bercampur-campur dan dijangka akan menyumbangkan cukai RM66 bilion sebagai hasil kepada negara dalam tempoh 20 tahun lagi.

Malah, sektor perindustrian yang ditempatkan dalam kawasan ini dijangka menyumbang RM1.98 trilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang mana negara mensasarkan RM2 trilion menjelang tahun 2050. Selain itu, kawasan Forest City juga diberi status bebas cukai oleh Kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Syarikat Greenland dipilih untuk membangunkan Forest City berasaskan rekod cemerlang syarikat itu membina 'bandar pintar' di seluruh dunia. Syarikat itu dilaporkan melabur AS$20 bilion (RM88.5 bilion) dalam sembilan negara, termasuk Malaysia.

Pelbagai projek canggih

Ia membina projek canggih dan teknologi terkehadapan, resort waterfront di beberapa bandar utama di dunia, termasuk projek Metropolis di Los Angeles, menara perumahan pencakar langit di Docklands, Greenland Centre Sydney di Sydney, Atlantic Yards di New York, kondominium dan hotel di Toronto, Kanada dan Pattaya, Thailand.

Selain itu, projek Forest City adalah sebahagian daripada Pelan Pembangunan selaras dengan dasar Khazanah Nasional yang diumumkan pada 2006 bagi tempoh 20 tahun. Khazanah Nasional mengharapkan jumlah pelaburan sebanyak RM383 bilion bagi kawasan Wilayah Iskandar.

Sehingga kini jumlah pelaburan komited terkumpul bagi Iskandar Malaysia adalah RM207.99 bilion termasuk pelaburan domestik RM123.93 bilion (60 peratus) dan pelaburan asing lima negara, RM84.05 bilion (40 peratus) termasuk pelaburan RM23.77 bilion dari China, RM19.14 bilion dari Singapura, RM7.06 bilion dari Amerika Syarikat, RM4.8 bilion dari Sepanyol, RM4.26 bilion dari Jepun dan RM22.04 bilion dari lain-lain negara.

Memandangkan pelaburan dari China ke Malaysia dilaporkan hanya 3.3 peratus daripada keseluruhan pelaburan langsung Asing (FDI), dakwaan kononnya usaha Najib membawa pelaburan dari China ke Malaysia akan membuka ruang kepada negara itu menjajah Malaysia dalam bentuk baharu adalah tidak tepat, malah lebih menggambarkan pendapat dan fikiran bersifat celaru dan serabut.

Sebaliknya, projek Forest City langkah bijak dan strategik kepemimpinan Najib membina sebuah hab ekonomi berteraskan 'ekonomi hijau' membantu menggerak dan melestarikan pembangunan Wilayah Iskandar serta menjana peluang pekerjaan yang akan memanfaatkan rakyat Malaysia secara amnya dan rakyat Johor secara khususnya.

Selain itu, begitu besar pelaburan asing untuk Forest City menimbulkan persoalan mengapa orang tertentu di Malaysia tidak menyokong projek ini. Ia sukar difahami.

Penulis ialah Pensyarah Komunikasi Strategik, Institut Penerangan dan Penyiaran Tun Abdul Razak (IPPTAR)

Berita Harian X