Isnin, 6 Februari 2017 | 4:14pm

47 warga asing ditahan dalam beberapa serbuan


WARGA Filipina yang ditahan kerana disyaki cuba masuk secara haram ke Sabah melalui perairan Kudat, awal pagi tadi. - Foto Ihsan APMM

KOTA KINABALU: Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) menahan 17 warga asing yang cuba menyusup masuk ke negeri ini secara haram melalui perairan Tanjung Berungus, Kudat, awal pagi tadi.

Penahanan dibuat sepasukan anggota APMM Kudat pada kira-kira jam 1 pagi selepas mengesan sebuah bot pancing dinaiki semua pendatang asing tanpa izin (PATI) terbabit yang dilihat dalam keadaan mencurigakan di perairan berkenaan.

Pengarah Maritim Daerah Kudat, Leftenan Komander Maritim Boon Chin Chau, berkata siasatan awal mendapati semua warga asing itu dibawa dari perairan Pulau Cagayan, Filipina menuju ke perairan Kudat.

"Bagaimanapun, hasil maklumat yang diperoleh menggunakan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah berjaya mengesan bot terbabit sebelum kita menahan mereka di perairan Tanjung Barungus," katanya di sini, hari ini.

Chin Chau berkata, semua warga asing berusia antara enam hingga 51 tahun itu diserahkan kepada Unit Siasatan APMM Kudat sebelum diambil tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Antipemerdagangan Orang dan Akta Penyeludupan Migran 2007.

Sementara itu di Tuaran, seramai 30 warga asing ditahan selepas didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Abdul Fuad Abdul Malek, berkata semua warga asing berusia 10 hingga 40 tahun itu ditahan hasil serbuan di empat lokasi iaitu rumah kongsi Telipok Ria, Rugading, Kampung Selupuh dan Kampung Guakon.

"Serbuan dibuat selepas polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung kebanjiran warga asing di kawasan berkenaan sejak beberapa bulan lalu," katanya.

Berita Harian X