Ahad, 5 Februari 2017 | 1:13am

Bolt ketuai pasukan All Stars menang Olahraga Nitro


Usain Bolt (kanan) bersorak memberi kata-kata semangat pada rakan sepasukan dalam saingan berpasukan Olahraga Nitro di Melbourne, Australia. - Foto AP

MELBOURNE: Manusia terpantas dunia, Usain Bolt mengetuai pasukannya, Bolt All-Stars memenangi malam pembukaan dalam saingan berpasukan Olahraga Nitro di sini, hari ini.

Pemenang rekod dunia 100 meter dan 200m itu mengetuai Bolt All-Stars - termasuk atlet Jamaica, Amerika Syarikat dan Kenya - menentang pasukan yang mewakili Australia, England, New Zealand, Jepun dan China.

Atlet Jamaica berusia 30 tahun itu bertanding dalam acara terakhir - 4x100m campuran - yang disertai dua lelaki dan dua wanita daripada setiap pasukan termasuk pemenang pingat emas Olimpik Jamaica, Asafa Powell.

Dengan kapten mereka menjadi pelari kedua sebelum menyerahkan baton kepada pelari AS, Jenna Prandini, Bolt All Stars memenangi perlumbaan itu untuk merekodkan kemenangan keempat dan menamatkan saingan dengan keseluruhan 1080 mata.

"Ia malam yang indah. Saya hanya mahu menikmati nya sejak dari mula sehinggalah tamat.

"Semua orang seronok. Semua cuba untuk memberi sokongan antara satu sama lain dalam setiap acara, ia sesuatu yang jarang kita boleh lihat, kata Bolt.

Pasukan Australia memenangi tiga daripada 12 acara untuk menduduki tangga kedua dengan 1050 mata. - AFP

Berita Harian X