Sabtu, 4 Februari 2017 | 5:38pm

Polis tahan suri rumah, nenek berjudi


POLIS menahan tujuh individu termasuk seorang suri rumah dan nenek kerana kesalahan berjudi di sebuah premis di Jalan Bukit Kecil, Bukit Mertajam malam tadi. - Foto ihsan PDRM

GEORGETOWN: Polis menahan tujuh individu termasuk seorang suri rumah dan nenek kerana kesalahan berjudi di sebuah premis di Jalan Bukit Kecil, Bukit Mertajam malam tadi.

Dalam operasi kira-kira jam 10.45 malam itu, semua suspek berusia antara 48 hingga 75 tahun sedang leka bermain judi jenis 'yoke' sebelum diserbu polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata seramai lima lelaki dan dua wanita berusia 48 dan 75 tahun ditahan dalam Ops Dadu.

"Dalam serbuan itu polis turut menahan tiga jurujual dan seorang kontraktor serta merampas wang tunai berjumlah RM16,490.

"Polis turut merampas satu meja, sejumlah cip berwarna serta dadu dipercayai peralatan digunakan suspek untuk bertaruh," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Nik Ros berkata, semua suspek sedang disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Berita Harian X