Sabtu, 4 Februari 2017 | 1:39pm

Keselamatan, kesihatan pekerja pelaburan untuk PKS

KUALA LUMPUR: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) wajar memperkukuhkan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) kerana ia adalah pelaburan jangka panjang dalam mengurangkan risiko kemalangan di sektor berkenaan.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata segelintir PKS di negara ini mempunyai pandangan negatif bahawa pelaburan dalam OSH adalah tidak menguntungkan.


PENGERUSI Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

"Kemalangan atau kematian boleh berlaku jika mereka mengenepikan aspek OSH, malah kos daripada kesan kemalangan yang bakal ditanggung majikan sebenarnya lebih tinggi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lam Thye berkata, perkembangan ekonomi global menyaksikan OSH dijadikan faktor penentu daya saing sesuatu syarikat kerana amalan berkenaan berupaya meningkatkan produktiviti dan kecekapan dalam pengurusan harian.

Beliau berkata, syarikat akan memperoleh keyakinan pengguna kerana kadar penghasilan produk tidak akan terganggu oleh sebarang insiden kemalangan, selain menjamin mutu perkhidmatan.

"Kemalangan industri di Malaysia berkurangan 21.9 peratus dalam tempoh 10 tahun (2005-2015), namun cabaran utama ketika ini adalah untuk menjadikan OSH sebagai budaya seharian.

"Statistik dikeluarkan Kementerian Sumber Manusia menunjukkan kemalangan industri berkurangan kepada 3.1 dan 2.81 kes bagi setiap 1,000 pekerja, masing-masing pada 2015 dan 2014 berbanding 5.16 kes pada 2005," katanya.

Sehubungan itu, katanya, majikan dan pengurusan bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan dijadikan budaya seharian, bukan sekadar dimomokkan sebagai keutamaan di tempat kerja.

Katanya, pengurusan yang bertanggungjawab perlu menyediakan peruntukan tahunan bagi latihan berkaitan OSH demi kebaikan pekerja.

Berita Harian X