Sabtu, 4 Februari 2017 | 8:00am

20 tahun tak jemu tingkat potensi ekonomi wanita


PENGARAH Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Madeline Berma. - Foto Rohanis Shukri

BANGI: Sumbangan dan pembabitan Prof Madya Dr Madeline Berma, 56, dalam pelaksanaan dasar serta pembangunan bagi membantu mengubah dan meningkatkan martabat wanita di negara ini sejak 20 tahun lalu, tidak dapat dinafikan.

   

Berlatar belakangkan kepakaran dalam bidang pendidikan dan ekonomi, membolehkan beliau melontarkan idea serta menyuarakan kekurangan dan potensi yang dikenal pasti untuk membantu meningkatkan penyertaan secara berkesan wanita dalam pembangunan negara.

Malah, bersandarkan kewibawaan dan pengalaman dimiliki, Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), ini diberi kepercayaan dan dilantik sebagai Ahli Majlis Penasihat dan Perundingan Wanita (MPPW), di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dua tahun lalu.

Madeline berkata, pelantikan itu berbaloi dengan pembabitan beliau dalam isu pembangunan ekonomi wanita dan masyarakat, khususnya mereka dalam kalangan golongan berpendapatan rendah yang sejak dulu menjadi 'makanannya'.

"Kepakaran dalam bidang pendidikan dan ekonomi, membolehkan saya menyuarakan kekurangan dan potensi yang dikenal pasti untuk membantu meningkatkan penyertaan secara berkesan wanita dalam pembangunan negara.

"Tumpuan saya kini, sudah pastinya lebih kepada usaha memartabatkan hala tuju dan masa depan negara, khususnya wanita," katanya kepada BH ketika di temui di UKM, di sini.

Pakar kajian pembangunan

Memiliki Ijazah doktor falsafah dari University of Hull, England, beliau memperoleh jurusan sarjana sastera beliau dari University of Wisconsin-Madison, Amerika Syarikat.

   

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari UKM ini, turut memiliki kepakaran dalam kajian pembangunan, malah kerja penyelidikannya, banyak memberi tumpuan kepada pembangunan luar bandar dan pembangunan ekonomi wanita.

Kepakaran dan pengalaman dimiliki, membolehkan beliau terpilih mewakili Malaysia dan UKM ke Commission on the Status of Women (CSW) ke Bangsa-Bangsa Bersatu, New York tahun lepas.

   

Sebagai sebahagian daripada 'thinktank' pembangunan wanita, Madeline mengakui, berasa puas apabila dapat merubah kehidupan wanita kepada lebih baik menerusi dasar yang disaran dan dibangunkan kerajaan.

Wanita isu global

Penerima Anugerah Pencapaian Khas dalam Bidang Pendidikan sempena Sambutan Hari Wanita 2016, Negeri Sarawak ini berkata, hakikatnya isu pembangunan wanita ialah isu global dan seiring dengan itu, Malaysia perlu mengikut aliran semasa.

   

"Orang selalu bertanya kepada saya, kenapa wanita?. Alasan saya mudah, banyak kajian menunjukkan bahawa pembangunan ekonomi negara lebih bermakna jika ia dapat dimanfaatkan wanita yang jumlahnya hampir separuh daripada jumlah penduduk negara.

   

"Sebagai tenaga kerja, wanita juga berpotensi untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, organisasi dan isi rumah. Banyak kajian membuktikan, syarikat besar yang berjaya dan memperoleh keuntungan tinggi, terdiri daripada organisasi mengamalkan kepelbagaian jantina di tempat kerja.

  

"Malah, wanita berpotensi sekiranya bakat mereka digilap, justeru tidak ada alasan kenapa kita menolaknya. Lagipun, Kedudukan wanita dalam pengurusan tertinggi di sektor swasta masih lagi rendah, hanya 10.2 peratus pada tahun 2014 daripada ahli lembaga pengarah syarikat awam tersenarai (PLC) berbanding sasaran sebanyak 30 peratus pada tahun 2016," katanya.


DARI kiri Prof Datuk Dr Halimah Badioze Zaman, Prof Dr Zaleha Abdullah Mahdy, Prof Datuk Dr Ir Riza Atiq Abdullah O.K Rahmat, Timbalan Dekan Fakulti Pendidikan, Prof Datuk Madya Dr Mohd Izham Mohd Hamzah, Pengarah Pusat Citra UKM, Prof Dr Khaidzir Ismail, Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim UKM, Prof Madya Dr Madeline Berma dan Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Prof Dr Rashila Ramli beramah mesra sebelum bermula sidang akhbar Analisa Bajet 2017 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). - Foto Surianie Mohd Hanif

Pembabitan secara tidak sengaja

Madeline yang juga tenaga pensyarah di Pusat Pengurusan Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM, berkata beliau terbabit dalam hal ehwal wanita, secara tidak sengaja.

Katanya, apabila banyak membuat kajian mengenai keadaan ekonomi masyarakat, didapati yang ramai miskin adalah wanita. Sejak itulah iaitu sekitar tahun 2000, hasil kajiannya selalu dijadikan rujukan dan beliau banyak memberikan idea untuk pembangunan wanita.

Beliau berkata, sterotaip terhadap fungsi wanita dan tanggapan bahawa isu wanita adalah terpencil dalam kalangan masyarakat, antara halangan utama dihadapi dalam memperjuangkan hal berkenaan.

"Bukan saja masyarakat, kadangkala wanita sendiri ragu dengan keupayaan mereka. Itulah sebenarnya halangan perlu diharungi dalam memperkasa wanita.

Apabila saya bercakap mengenai memperkasa wanita, bukan kita mahu mengambil alih tugas lelaki atau suami tetapi sekurang-kurangnya wanita itu berupaya berdiri atas kaki sendiri dan tidak berharap 100 peratus kepada lelaki untuk mencari rezeki atau melakukan tugasan harian.

   

"Saya bangkitkan hal ini kerana kajian saya terhadap kemiskinan masyarakat, status miskin banyak 'diungguli' wanita, khususnya ibu tunggal," katanya.

   

Sebagai pensyarah dan penyelidik dalam bidang pengurusan ekonomi, beliau banyak melawat ke kawasan kampung yang mundur untuk merasai erti miskin.

   

"Pada saya, walaupun miskin itu tidak berpenghujung dan tidak ada jalan nokhtah kepada kemiskinan tetapi sekurang-kurangnya saya berpeluang melontar idea untuk pembangunan komuniti, khususnya wanita," katanya.

.Info:

Madeline Berma;

Usia: 56 tahun

Asal: Sarawak

Jawatan : Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

: Pensyarah Pusat Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM.

Pencapaian dan anugerah;

* Penerima Anugerah Pencapaian Khas dalam Bidang Pendidikan sempena Sambutan Hari Wanita 2016, Negeri Sarawak.

* Penerima pingat Ahli Bintang Kenyalang (ABK) dari Kerajaan Negeri Sarawak

* Menjadi ahli Ahli Majlis Penasihat dan Perundingan Wanita (MPPW) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

* Ahli Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) di Jabatan Perdana Menteri

* Ahli Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian di antara Penganut Agama (JKMPKA) - Jabatan Perdana Menteri

* Ahli Majlis Perundingan dan konsultatif Perpaduan Nasional di bawah Jabatan Perdana Menteri

* Ketua Penyelidik Kajian Keperluan Modal Insan Wanita Untuk Koridor Tenaga Diperbaharui (SCORE), Sarawak.

Berita Harian X