Sabtu, 4 Februari 2017 | 7:11am

Ronaldo atlet berpendapatan tertinggi 2016

PENYERANG Real Madrid, Cristiano Ronaldo. - Foto AFP
PENYERANG Real Madrid, Cristiano Ronaldo. - Foto AFP

LONDON: Cristiano Ronaldo terus mempunyai satu lagi alasan kukuh mengapa dia dikatakan menempuh tahun 2016 yang lebih hebat daripada Lionel Messi.

Selepas menjulang Liga Juara-Juara dan Euro 2016, eksploitasi di dalam padang bintang Portugal itu menyaksikan dia merangkul anugerah Ballon d'Or dan Pemain Terbaik Tahunan FIFA.

Kali ini Ronaldo muncul sebagai atlet berpendapatan tertinggi di dunia bagi tahun 2016 selepas penyerang Real Madrid itu mendahului senarai Forbes dengan pendapatan sebanyak 70.6 juta pound (RM390.3 juta) pada tahun lalu.

Ini adalah kali pertama pemain terhebat dunia berusia 31 tahun itu mengungguli senarai terbabit dengan pendapatan menampakkan peningkatan sebanyak 6.6 juta pound (RM36.4 juta) berbanding tahun 2015.

Pencabarnya Messi pula muncul kedua tertinggi selepas mengutip 65 juta pound (RM359.3 juta) dengan sensasi bola keranjang LeBron James (61.9 juta pound atau RM342.2 juta) melengkapkan senarai tiga terbaik.

Ronaldo menjadi atlet kedua daripada acara berpasukan mengungguli ranking terbabit - sejak ia mula diperkenalkan pada 1990 - selepas legenda bola keranjang Michael Jordan pernah mengunggulinya.

Malah, hanya mereka berdua menjadi dua pemain bola sepak yang berjaya memasuki senarai 20 teratas.

Legenda tenis, Roger Federer pula mengumpul 54.4 juta pound (RM300.7 juta) diikuti pemain bola keranjang dari pasukan Golden State Warriors, Kevin Durant 45.1 juta pound (RM249.3 juta) pada kedudukan kelima.

Hanya dua atlet Britain berada dalam senarai 20 teratas - Lewis Hamilton (36.8 juta pound atau M203.4 juta) di kedudukan ke-11 dan bintang golf Rory McIlroy (34 juta pound atau RM187.9 juta) ke-17. - Agensi

Berita Harian X