Sabtu, 4 Februari 2017 | 12:06am
ANTARA menu di restoran Pegaga, Ukay Boulevard, MRR2 Ulu klang. - Foto Osman Adnan

Puas makan walaupun agak mahal


PELANGGAN yang menjamah selera di restoran Pegaga, Ukay Boulevard, MRR2 Ulu klang. .- Foto Osman Adna

MENU istimewanya ialah ikan merah gulai kalut, bawal mas goreng mercik, 4 Queen dan senja biru. Memang unik senarai menu di Restoran Pegaga, sama seperti nama restorannya juga.

Disebabkan keunikan itu, penulis bertandang ke restoran yang terletak di Ukay Boulevard di Ampang. Paling penting, adakah rasa makanan itu sedap dan mampu membuka selera, sekali gus nama menu yang unik itu melekat dalam fikiran pelanggan. Biar nama makanan dan rasa sama gah!

Sambal belacan 'meletup'

Restoran Pegaga adalah premis makanan yang menyajikan hidangan ala kampung, khusus buat warga kota yang masih tercari-cari tempat makan Melayu tradisional.

Nama restoran diambil sempena ulam pegaga yang sangat popular dalam kalangan masyarakat desa. Setiap kali menikmati sajian makan tengah hari mahupun malam, Raja Ulam itu wajib disajikan bersama nasi dan lauk-pauk kampung yang lain, dicicah pula dengan sambal belacan, memang 'meletup'!

Kepada pelanggan yang berkunjung ke Restoran Pegaga, wajib memesan ulam berkenaan dan nikmati hidangan pilihan anda bersama segelas jus pegaga!


RESTORAN Pegaga.- Foto Osman Adnan

Kalut penuhi pesanan

Bagi mereka yang 'gila' masakan kampung, penulis yakin, Restoran Pegaga tidak mengecewakan.

Cef Eksekutif Kanan Restoran Pegaga, Mohammad Sopi Mohammad Lazim menerangkan maksud di sebalik nama ikan merah gulai kalut, yang sebenarnya adalah gulai kari ikan.

"Saya (berasal) orang utara dari Ayer Hitam, Kedah. Kari kami panggil gulai saja. Apabila pelanggan memesan gulai, saya perlu menyediakan kurang daripada 10 minit. Apabila nak cepat, itu yang jadi kalut, maksudnya kelam-kabut, maka terhasillah menu ikan merah gulai kalut.

"Bawal mas goreng mercik pula apabila ikan yang digoreng garing, saya tabur bawang goreng yang ditambah kicap atas ikan berkenaan. Kicap pula terpercik atas ikan. Maka lahirlah nama bawal mas goreng mercik! Itu saja," katanya.

Kombinasi empat jenis sayur

Sementara itu, 4 queen pula adalah kombinasi empat jenis sayur-sayuran iaitu bendi, peria, labu dan terung yang digaul dan digoreng bersama.

Senja biru adalah minuman jus berkarbonat yang dicampur laici, jus limau dan sedikit pewarna yang dibenarkan. Supaya nampak lebih komersial, ia dinamakan senja biru.

Memang penulis berasa diri seolah-olah di kampung halaman sedang menikmati hidangan air tangan ibu, sedangkan sebenarnya sekadar bertandang ke Restoran Pegaga.

Cef Mohammad Sopi berkata, restorannya hanya menyediakan makanan segar dan panas, menjadikan harganya sedikit mahal kerana mereka mengutamakan kualiti.

Restoran Pegaga juga menyediakan masak lemak cili padi khusus selera orang Negeri Sembilan, selain asam pedas bagi orang Melaka dan Johor.


CHEF eksekutif, Mohamad Sofi menunjukkan antara menu di restoran Pegaga, Ukay Boulevard, MRR2 Ulu klang. - Foto Osman Adnan

INFO

Restoran Pegaga

  • Lokasi: No 12-G & 13-G, Ukay Boulevard, Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2), Hulu Kelang, Ampang, Selangor (berhadapan Dataran Weststar).
  • Instagram: @pegagarestaurant
  • Waktu Operasi: Setiap hari mulai jam 9 pagi hingga 10.30 malam.
  • Antara menu istimewa termasuklah ikan merah gulai kalut, bawal mas goreng mercik, daging salai masak lemak cili padi, siakap bakar sambal petai, jemput-jemput ikan bilis, ubi kayu rebus dan ulam pegaga.
Berita Harian X