Jumaat, 3 Februari 2017 | 4:01pm

Moody's kaji semula penarafan Sime Darby

KUALA LUMPUR: Moody's Investors Service Singapura (Moody's) mengkaji semula penarafan hutang Sime Darby Bhd bagi kemungkinan ia diturunkan selepas konglomerat itu mengumumkan cadangan menyenarai perniagaan perladangan dan hartanah secara berasingan di Bursa Malaysia.

Agensi penarafan antarabangsa itu semalam berkata, penyenaraian dua bahagian perniagaan itu akan menjurus kepada pengurangan kepelbagaian, skala dan aliran tunai, sehubungan itu melemahkan profil kredit kumpulan Sime Darby.

Moody's berkata, ia sedang mengkaji semula untuk menurunkan penarafan penerbitan Baa1 ke atas Sime Darby dan penarafan hutang tidak bercagar senior Baa1 ke atas sukuk yang dikeluarkan Sime Darby Global Bhd.

Ia juga membuat kedudukan untuk menyemak turun penarafan (P)Baa1 ke atas program nota jangka sederhana tidak bercagar senior Sime Darby Global.

Pada 26 Januari 2017, Sime Darby mengumumkan cadangan mewujudkan tiga perniagaan teras yang akan berdiri secara sendiri dengan menyenaraikan bahagian perladangan dan hartanah di Bursa Malaysia, sementara mengekalkan bahagian permotoran dan perindustrian di bawah Sime Darby Bhd.

Pihak pengurusan Sime Darby sedang menilai langkah-langkah pelaksanaan dan masa yang diperlukan bagi melaksanakan cadangan itu.

"Sementara tidak jelas bagaimana cadangan itu akan dilaksanakan, kami percaya penyenaraian perniagaan perladangan dan hartanah Sime Darby akan menjurus kepada pengurangan kepelbagaian, skala aliran dan tunai, dan sehubungan itu melemahkan profil kredit," kata Naib Presiden merangkap Ketua Penganalisis Moody's, Jacintha Poh.

Semakan Moody's bagi penurunan penarafan itu akan menilai transaksi khusus, sejurus perincian berhubung cadangan Sime Darby itu tersedia nanti.

Khususnya, Moody's akan menumpu ke atas bagaimana hutang sedia ada diperuntukkan merentas tiga entiti terbabit, dasar kewangan, struktur modal, aliran tunai dan profil kecairan syarikat, selain prospek perniagaan sedia ada pasca transaksi itu.

Semakan semula itu akan dimuktamadkan sejurus struktur transaksi jelas, dan kepastian berhubung pelaksanaannya.

Bagi suku kewangan berakhir 30 September 2016, Sime Darby menjana sekitar 42 peratus daripada keuntungan sebelum faedah dan cukainya daripada segmen perladangan, sekitar 27 peratus daripada segmen hartanah, dan baki daripada permotoran, perindustrian dan perniagaan lain.

INFO Sime Darby

- antara konglomerat senaraian awam terbesar Malaysia

- kehadiran kukuh di China, Australia, New Zealand dan Asia Tenggara.

Berita Harian X