Khamis, 2 Februari 2017 | 9:20pm

Ikan lumba-lumba Irrawaddy ditemui mati


KAKITANGAN Jabatan Perikanan Johor memeriksa bangkai ikan lumba-lumba yang dijumpai terdampar di tepi pantai Pontian. - Foto ihsan Jabatan Perikanan Johor

PONTIAN: Seekor ikan lumba-lumba Irrawaddy atau dikenali empesut dijumpai mati di tepi pantai berhampiran Pusat Perdagangan Bandar Pontian Baru, dekat sini, petang tadi.

Ikan daripada spesies Orcaella brevirostris sepanjang 2 meter dengan berat dianggarkan 120 kilogram itu, dijumpai nelayan dan orang awam di tepi pantai berkenaan, kira-kira jam 4 petang tadi.

Ketua Pangkalan Utama Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Johor, Baharin Kassim, berkata ikan lumba lumba daripada spesies marin terancam itu dijumpai terdampar sebelum orang awam menghubungi pihaknya.

Katanya, ini kali pertama spesies ikan lumba-lumba itu ditemui di daerah ini walaupun sebelum ini pihaknya pernah menjumpai bangkai ikan lumba lumba spesies lain.

"Mamalia marin itu tersenarai dalam Akta Perikanan 1985 sebagai spesies marin terancam. Bangkai ikan itu disimpan sementara di Pusat Penyelidikan Perikanan (FRI) di Gelang Patah, dekat sini.

"Pihak kami akan menjalankan bedah siasat terhadap bangkai ikan lumba-lumba ini bagi mengenal pasti punca sebenar kematian. Setakat ini berdasarkan pemerhatian fizikal, terdapat kesan kecederaan di kepala ikan ini tetapi kita perlu menunggu hasil bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Baharin turut berterima kasih dengan orang awam yang menghubungi pihaknya bagi membolehkan siasatan lanjut penemuan ikan lumba-lumba yang dilindungi itu dapat dijalankan.

Empesut atau bahasa Inggeris Irrawaddy Dolphin adalah sejenis sejenis ikan lumba-lumba air tawar yang boleh didapati di negara ini terutama di Sarawak dan Sabah, selain beberapa negara lain termasuk Australia, Bangladesh, Timor Leste, India, Indonesia, Kemboja, Myanmar, Papua New Guinea, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Ikan lumba-lumba Irrawaddy dikenali sebagai haiwan yang bijak mengesan dan mengelak pukat walaupun air keruh.

Berita Harian X