Rabu, 1 Februari 2017 | 5:46pm

UniSZA wujudkan galeri pamer karya penuntut


TIMBALAN Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniSZA, Profesor Dr Nik Wan Omar. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

KUALA NERUS: Univeristi Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bakal mewujudkan galeri bagi mempamerkan hasil karya terbaik penuntut Rekabentuk Perindustrian UniSZA (IDEC) yang dihasilkan melalui teknik 'rendering'.

Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniSZA, Profesor Dr Nik Wan Omar berkata pameran berkenaan bertujuan mengetengahkan subjek 'teknik rendering' dan memperkenal program Rekabentuk Perindustrian kepada pihak luar.

"Buat masa ini, sebanyak 101 hasil kerja penuntut dipamerkan di Perpustakaan UniSZA selama sebulan bermula hari ini dan berakhir pada 28 Februari.

"Pameran ini juga memberi pendedahan kepada penuntut semester tiga Ijazah Sarjana Muda Rekabentik Perindustrian dalam mengetengahkan bakat dan mempelajari cara mempersembah hasil karya mereka.

"Ini sekali gus membuka mata pemain industri terutama syarikat di dalam dan luar negara untuk melihat kebolehan pelajar kita," katanya kepada media selepas merasmikan program berkenaan di sini, hari ini.

Turut hadir Dekan Fakulti Rekabentuk dan Inovatif yang juga penasihat program, Profesor Suleiman Mohd Salleh.

Suleiman berkata, sebanyak 80 peratus graduan fakulti berkenaan mendapat tempat dalam industri reka bentuk selepas menamatkan pengajian.

"Penuntut UniSZA sememangnya mempunyai bakat yang cukup besar dalam bidang ini, malah ada yang sudah ditawarkan bekerja syarikat pengiklanan di luar negara selepas hasil kerja mereka dilihat melalui laman sesawang.

"Selain itu, kebanyakan graduan juga ditawarkan bekerja di syarikat besar di dalam negara dan ada penuntut yang menjual karya mereka walaupun masih menuntut," katanya.

Berita Harian X