Rabu, 1 Februari 2017 | 12:03am

Penulis novel mangsa lanun digital


DARI kiri; Nisah, Aida, Ramlee dan Naim ketika Sembang Gen Y: Karya Saya Diciplak! di Shah Alam. - Foto Aswadi Alias

BAYANGKAN jika karya tulisan anda ditiru hampir 100 peratus dan diterbitkan semula dengan kulit depan baharu sebagai karya penulis lain. Bayangkan pula si penciplak tidak langsung memohon maaf, sebaliknya buku itu dijual secara terbuka dengan alasan kononnya undang-undang yang ada tidak pernah dilaksanakan.

Kisah benar ini terjadi seperti diakui oleh penulis novel popular, Nik Rohaida Wan Daud atau lebih dikenali sebagai Aida Ariani yang menghasilkan novel Lafazkan Cintamu pada 2006, tetapi karya aslinya itu ditiru bulat-bulat kecuali nama watak diubah dan diterbitkan oleh penerbitan lain dengan tajuk Bidadari Hati Farhan dengan nama Fatimah Aznan pada 2015.

Karya ditiru bulat-bulat

"Saya tidak sangka hal ini boleh berlaku kerana karya saya diplagiat patah demi patah perkataan. Ketika dimaklumkan hal ini oleh pembaca, saya fikir apa yang ditiru mungkin jalan cerita tetapi rupa-rupanya keseluruhan karya ditiru bulat-bulat.

"Malah komen pembaca dalam laman sosial Goodread juga diambil dan diletakkan sebagai blurb buku tiruan itu," katanya dalam Sembang Gen Y: Karya Saya Diciplak! yang menampilkan dua lagi panel, novelis, Ramlee Awang Murshid dan Naim Tamjis.

Acara anjuran Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd ini sebagai respons terhadap laporan eksklusif 'lanun digital' yang memplagiat, menciplak dan mencetak rompak karya kreatif tanah air yang dilaporkan oleh BH sejak 15 Januari lalu.

BH sebelum ini melaporkan tindakan lanun digital ini yang dibuat secara terbuka dalam aplikasi dan laman sosial, selain diterbitkan semula secara haram serta dijual pada harga lebih murah. Kebanyakan mereka yang melakukannya didapati daripada golongan muda, termasuk penuntut universiti yang mendakwa tidak tahu mengenai Akta Hak Cipta 1987.

Bagaimanapun, bagi Ramlee yang dua karyanya, Raudhah dan Rayyan Fantasi dimuat naik secara haram dalam aplikasi sosial tidak menolak kemungkinan pelaku yang menerbitkan semula karya penulis tempatan di laman sosial tidak mengetahui Akta Hak Cipta kecuali sekiranya melakukannya dalam bentuk fizikal.

"Ciplak adalah kesalahan besar, saya tidak boleh maafkan kalau ia dilakukan dalam bentuk fizikal. Jika dalam laman sosial itu mungkin boleh dimaafkan tetapi saya sakit hati dengan komen yang biadab misalnya penggunaan kata-kata kesat seperti 'sila meninggal.'

"Satu ketika dulu kita kerap mendengar mengenai kaset atau cakera padat diciplak tetapi saya tidak sangka buku atau novel juga akan menerima nasib sama," katanya pada acara yang dipengerusikan oleh penulis dan aktivis hak cipta, Nisah Haron.

Portal penulisan dipertikai

Bagaimanapun, pandangan daripada peserta forum, Faizal Ashaari juga menarik untuk diteliti apabila beranggapan syarikat penerbitan mewujudkan portal sebagai wadah kepada penulis untuk menerbitkan karya dengan memuat naik bab dalam talian dengan karya yang mendapat bacaan tinggi mempunyai potensi diterbitkan, boleh dianggap tindakan 'mendidik' pembaca untuk menikmati karya secara percuma.

Antara syarikat penerbitan yang mewujudkan portal berbentuk sedemikian ialah Karangkraf melalui portal Ilham dan Penulisan2u, selain laman sosial seperti Wattpad, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai untuk membaca karya seseorang penulis terlebih dulu sebelum diterbitkan dengan syarat karya itu mendapat jumlah bacaan yang banyak.

Sejauh mana kebenaran kenyataan itu tidak dapat dipastikan tetapi usaha membanteras kegiatan lanun digital memerlukan kerjasama semua pihak yang bergelar penerbit.

Mengesan lanun digital lebih sukar berbanding pelaku cetak rompak karya fizikal, justeru ini adalah masa terbaik untuk semua syarikat penerbitan di negara ini tanpa mengira kecil atau besar untuk bekerjasama membanterasnya.

Berita Harian X