Selasa, 31 Januari 2017 | 4:15pm

Melaka rayu dua sawah diiktiraf Jelapang Negeri


EXCO Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Abd Rahman menyampaikan benih padi kepada pesawah Parit Penghulu, di Kampung Telok Rimba, Sungai Rambai, Jasin, hari ini. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

JASIN: Kerajaan negeri meminta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mempertimbangkan permohonan untuk mengiktiraf dua kawasan sawah di negeri ini sebagai Jelapang Padi Negeri.

EXCO Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Abd Rahman, berkata kawasan sawah Parit Penghulu di Sungai Rambai dan Stulang Daeng di Bukit Rambai yang berkeluasan 1,654 hektar, layak mendapat status berkenaan berikutan pesawah aktif mengusahakan tanah mereka.

"Kedua-dua sawah berkenaan memerlukan perhatian daripada kerajaan untuk membolehkan ia dibangunkan dengan lebih baik.

"Sudah sampai masanya ia dinaik taraf sebagai Jelapang Negeri supaya bantuan dapat disalurkan dengan lebih sistematik dan berkesan.

"Justeru, saya merayu supaya MOA mempertimbangkan permohonan yang sudah dibuat sejak dua tahun lalu itu," katanya selepas menyampaikan benih padi kepada 100 pesawah Parit Penghulu, di Kampung Telok Rimba, Sungai Rambai, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Hasan berkata, beliau meminta Pejabat Tanah dan Daerah Jasin mencari tanah kerajaan yang terbiar untuk diusahakan dengan tanaman padi beras wangi.

Katanya, ini berikutan terdapat minat yang tinggi dalam kalangan pesawah di daerah ini untuk menanam padi jenis berkenaan, namun tidak memiliki kawasan sesuai.

"Sungai Rambai adalah kawasan berpotensi di Melaka untuk dibangunkan dengan penanaman padi beras wang.

"Saya sudah meminta Pejabat Tanah Jasin untuk sama-sama membantu dalam memajukan perkara ini.

"Diharap usaha sama itu akan menjadikan Melaka sebagai pengeluar beras wangi terbesar di negara ini," katanya.

Berita Harian X