Isnin, 30 Januari 2017 | 6:26pm

Pelaburan dalam aset infrastruktur jamin pulangan stabil


LAZIMNYA lebuh raya bertol, utiliti dan beberapa projek infrastruktur menjadi pelaburan alternatif bagi pengurus dana. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Persekitaran ekonomi mencabar ketika ini memberi tekanan kepada pengurus dana untuk menjana pulangan pelaburan tambahan yang stabil kepada pemegang kepentingan masing-masing.

Justeru, kebelakangan ini terdapat beberapa urus niaga yang memperlihatkan pengurus dana terbesar negara seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) mula meningkatkan pelaburan dalam pelaburan alternatif seperti aset infrastruktur dan hartanah.

Profesor Ekonomi Pusat Pengajian Perniagaan, Universiti Sunway, Profesor Yeah Kim Leng, berkata lazimnya lebuh raya bertol, utiliti dan beberapa projek infrastruktur menjadi pelaburan alternatif bagi pengurus dana.

Katanya, pelaburan alternatif seumpama itu dilihat mampu memberikan pendapatan berulang, sekali gus menyediakan pulangan yang stabil.

Beliau berkata, bagi pengurus dana tempatan seperti KWSP dan PNB, mereka melabur dalam aset jangka panjang yang mempunyai risiko rendah dari segi pembinaan serta menyediakan aliran pendapatan kukuh.

"Tambahan pula, kebanyakan aset sedemikian adalah aset matang yang mampu menyediakan pulangan tinggi berbanding pulangan yang ditawarkan dalam pelaburan kewangan lain seperti deposit tetap dan instrumen pasaran wang lain.

"Adalah baik untuk mempunyai portfolio aset sedemikian bagi melindungi pulangan keseluruhan portfolio pelaburan. Sebenarnya mereka (pengurus dana) boleh meningkatkan keseluruhan pulangan kerana aset sedemikian, terutama lebuh raya bertol, menyediakan pulangan stabil dan lebih tinggi berbanding purata pulangan mereka," katanya kepada BH, baru-baru ini.

Baru-baru, PNB mengambilalih 100 peratus kepentingan dalam Sistem Lingkaran-Lebuhraya Kajang Sdn Bhd (SILK) berjumlah RM380 juta, manakala KWSP membeli 40 peratus kepentingan dalam Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn Bhd (Kesturi), pemegang konsesi Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) bernilai RM1.13 bilion.

Mengulas lanjut mengenai pulangan pelaburan dalam lebuh raya bertol, Kim Leng berkata, kebiasaannya, purata pulangan yang ditawarkan dalam aset infrastruktur berkenaan adalah antara tujuh hingga lapan peratus.

Pulangan sedemikian, jelasnya, dilihat mencukupi untuk menyokong dividen pengurus dana persaraan seperti KWSP memandangkan ia lebih tinggi berbanding purata dividen yang mampu diberikannya menerusi sumber konvensional.

"Selain menyediakan pendapatan berulang yang kukuh, pelaburan dalam aset infrastruktur juga membantu pengurus dana mengelak impak ketidaktentuan luaran.

"Dalam mengimbangi risiko ketidaktentuan luaran, adalah perlu bagi pengurus dana melihat kepada pelaburan domestik yang dapat melindungi dari segi impak pergerakan turun naik tidak menentu mata wang dan risiko kadar faedah," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden/Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, selagi pelaburan alternatif yang dibuat pengurus dana tempatan adalah dalam bidang kepakaran mereka, ia adalah terurus.

Katanya, dalam berdepan persekitaran mencabar, pengurus dana tempatan seperti KWSP dan PNB perlu mempelbagaikan pelaburan berikutan pertumbuhan terhad dalam instrumen pelaburan tradisional seperti ekuiti.

"Justeru, mereka melabur dalam pelaburan alternatif seperti hartanah dan ekuiti swasta. Saya percaya selagi masih dalam bidang kepakaran mereka, pelaburan alternatif yang dibuat adalah terurus," katanya.

INFO

* PNB ambil alih 100 peratus kepentingan dalam SILK bernilai RM380 juta

* KWSP beli 40 peratus kepentingan dalam Kesturi, pemegang konsesi DUKE bernilai RM1.13 bilion

 

Berita Harian X