Ahad, 29 Januari 2017 | 2:27pm

Melaka sasar 16.75 juta pelancong tahun ini

SEPANG: Melaka mensasarkan kehadiran 16.75 juta pelancong ke negeri itu sepanjang tahun ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata sebanyak 159 acara termasuk bertaraf antarabangsa akan menghiasi kalendar pelancongan Melaka sepanjang tahun ini.

"Mengikut rekod, seramai 16.25 juta pelancong dari dalam dan luar negara datang ke negeri ini tahun lalu iaitu meningkat kira-kira 3.27 peratus pelancong bagi tempoh sama pada 2015.

"Kita kenal pasti pertambahan drastik bagi jumlah kedatangan pelancong sejak tiga tahun lalu, justeru pelbagai acara akan diketengahkan bagi menarik kedatangan mereka ke negeri ini," katanya.


PEMAIN tengah JDT, Harris Harun (kanan). - Foto Farizul Hafiz Awang

Beliau ditemui pada sidang media selepas menyambut ketibaan penumpang China Southern Airlines Penerbangan CZ349 dari China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Sambutan itu adalah simbolik kerjasama MAHB dan Tourism Melaka sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang mana poster keunikan dan keistimewaan Melaka akan dipamerkan di KLIA dan klia2.

Turut hadir, Pengarah Urusan Malaysia Airport Holdings Berhad, Datuk Badlisham Ghazali.

Katanya, Melaka turut mensasarkan 1.5 juta pelancong China ke negeri itu tahun ini.

"Anggaran perbelanjaan bagi setiap pelancong China di Melaka mencecah RM2,500 hingga RM5,000 bagi setiap pelancong yang membawa pulangan tinggi kepada ekonomi bandaraya bersejarah ini," katanya.

Berita Harian X