Ahad, 29 Januari 2017 | 12:50am

Bolt terpedaya cabaran paderi

DERETAN pingat emas Olimpik dan Kejohanan Olahraga Dunia adalah bukti bahawa Usain St Leo Bolt @ Usain Bolt berada dalam kelasnya yang tersendiri ditambah pula catatan rekod dunia yang dilakukan setiap kali turun bertanding, beliau bukan calang-calang atlet.


USAIN Bolt meraikan kejayaannya di Sukan Olimpik Rio tahun lalu.

KUALA LUMPUR: Semuanya bermula apabila seorang kanak-kanak lelaki kurus berusia 12 tahun berkelahi dengan rakannya, Ricardo Gedes mengenai siapa yang paling pantas berlari.

Ketika insiden, seorang paderi Reverend Nugent terdengar perkelahian dua kanak-kanak terbabit dan meminta mereka berentap untuk menentukan pemenangnya.

Menariknya, paderi terbabit menawarkan makan tengah hari percuma kepada pemenangnya.

Dua kanak-kanak terbabit 'terpedaya' dengan tawaran berkenaan dan bertarung yang berkesudahan dengan si kurus (Usain Bolt) memenangi perlumbaan itu.

Paderi terbabit memberitahu kanak-kanak bernama Bolt itu, 'Jika kamu boleh menewaskan Ricardo, sudah pasti kamu juga boleh mengalahkan sesiapa saja'.

Rentetan peristiwa itu, lahirlah seorang bintang pecut yang akhirnya menggegar arena olahraga dunia.


USAIN Bolt meraikan kemenangan selepas memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Rio tahun lalu.

Bolt memang suka bersukan

Bolt atau nama penuhnya, Usain St Leo Bolt dilahirkan pada 21 Ogos 1986 di Sherwood Content, sebuah bandar kecil di Trelawny, Jamaica. Dia dibesarkan oleh pasangan Wellesley dan Jennifer Bolt bersama abangnya, Sadiki dan adiknya, Sherine.

Ibu bapanya menguruskan sebuah kedai runcit di kawasan perkampungan berkenaan dan ketika itu Bolt menghabiskan masanya bermain kriket serta bola sepak.

Dia pernah berkata, 'ketika saya masih kecil, saya tidak memikirkan mengenai perkara lain selain sukan.'

Bolt menunjukkan potensi sebagai seorang pelari pecut apabila berlari mewakili sekolah gerejanya pada acara tahunan, pada usia 12 tahun, dia mencipta reputasi sebagai pelari terpantas bagi jarak 100 meter ketika itu.

Ketika belajar di Sekolah Tinggi Memorial William Knibb, Bolt menyertai pelbagai jenis sukan, namun bakatnya disedari jurulatih kriketnya lalu 'memaksanya' mencuba dalam acara olahraga.

Dengan bimbingan bekas pelari pecut Olimpik, Pablo McNeil dan Dwayne Jarret, Bolt akhirnya berjaya meningkatkan kemampuan sehingga bergelar pelari terpantas di dunia.

Kadang kala McNeil begitu kecewa dengan sikap acuh tak acuh Bolt yang sering berlawak ketika berlatih.


JAGUH pecut dunia, Usain Bolt melepasi garisan penamat di Sukan Olimpik.

USAIN Bolt (dua dari kanan) meraikan kemenangan dalam acara 4 x 100 meter di Sukan Olimpik Rio.

Pandai simpan rahsia kecacatan

Di sebalik kepantasannya 'membelah' trek olahraga, tersimpan satu rahsia yang menjadi 'kecacatan' kepada atlet berusia 30 tahun itu apabila dia mengalami masalah tulang belakang bengkok yang tidak normal.

Berikutan permasalahan itu, persiapan Bolt sering terjejas dan sukar memperagakan prestasi yang terbaik dalam pertandingan yang disertai. Bagi mengatasinya jurulatih baru, Glen Mills menubuhkan pasukan pemantau prestasi untuk meneliti keadaan Bolt.

Pasukan ini juga bertanggungjawab menguatkan teras dan bahagian badan belakang atlet tersohor itu, sekali gus dia tidak lagi berdepan masalah sehingga mampu mencapai prestasi yang begitu memuncak.

Olimpik Beijing 2008 menyaksikan kehidupan Bolt berubah selepas mencatat rekod dunia dengan catatan 9.69 saat dalam acara 100 meter jauh meninggalkan naib juara, Richard Thompson yang menamatkan saingan dengan catatan 9.89 saat.

Bukan saja rekod itu dibantu tiupan angin, malah dia juga dilihat sudah memperlahankan kelajuan untuk meraikan kemenangan sebelum tiba di garisan penamat dan kasutnya juga tidak diikat.


JAGUH pecut dunia, Usain Bolt bersama satu daripada kereta mewah miliknya.

Rahsia keladi Trelawney

Ada cerita menarik yang boleh dikongsi kerana ayahnya, Wellesley Bolt menyatakan anaknya mampu meraih pingat emas pada temasya itu adalah kerana keladi Trelawney yang ditanam di kawasan kelahiran pelari pecut itu.

Nyata, Bolt tidak berpaling ke belakang apabila memecahkan rekodnya sendiri dengan catatan 9.58 saat di Kejohanan Dunia 2009 di Berlin. Selepas itu deretan pelbagai kejayaan terus menjadi milik pelari pecut ini sehingga dia digelar 'lelaki terpantas di Bumi' dan mendapat gelaran 'Lightning Bolt'.

Tidak keterlaluan gelaran itu menjadi miliknya kerana dia adalah pelari pertama yang memegang rekod dunia bagi 100 meter dan 200 meter dengan pemasaan automatik menjadi mandatori Persekutuan Olahraga Amatur Antarabangsa (IAAF),

Kemuncak kejayaannya apabila menjadi juara bertahan Olimpik dalam acara terbabit apabila meraih pingat emas dalam dua acara berkenaan dalam tiga temasya Olimpik bermula Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016.

Dalam Kejohanan Olahraga Dunia, Bolt menjadi atlet paling berjaya dan atlet pertama meraih tiga gelaran dalam acara 100 meter dan 200 meter dalam pertandingan terbabit.

Selain pencapaian di atas balapan, dia dianugerahkan gelaran Atlet Tahunan IAAF, Atlet Trek dan Olahraga Tahunan dan serta Anugerah Atlet Terbaik Tahunan Laureus sebanyak tiga kali.

Kejayaannya sedikit terpalit, apabila terpaksa memulangkan pingat emas 4X100 meter yang dimenangi kuartet Jamaica pada Olimpik Beijing 2008.


USAIN Bolt sempat menoleh sebelum melepasi garisan penamat di Sukan Olimpik Rio tahun lalu.

Pelari terpantas dunia itu hilang satu daripada sembilan pingat emas Olimpiknya minggu ini selepas rakan sepasukannya, Nesta Carter didapati positif menggunakan dadah terlarang.

Jamaica dikatakan membuat rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung penarikan balik pingat emas berkenaan dan optimis Bolt akan memenangi kembali pencapaian 'tiga pingat emas dalam tiga temasya Olimpik' miliknya itu.

Namun, 2017 bakal menjadi tahun terakhir dunia menyaksikan pecutan Bolt di atas trek olahraga selepas dia menyatakan hasrat untuk bersara daripada olahraga selepas Kejohanan Dunia 2017.

Bagaimanapun, minatnya terhadap kriket dan bola sepak memungkinkannya meneroka potensi baru dalam dua sukan berkenaan. Siapa tahu bintang baru bola sepak atau kriket bakal dilahirkan.

USAIN Bolt menunjukkan pingat emas di Sukan Olimpik Rio tahun lalu.
USAIN Bolt menunjukkan isyarat selepas memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Rio tahun lalu.
USAIN Bolt meraikan kemenangan selepas memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Rio tahun lalu.
JAGUH pecut dunia, Usain Bolt (kiri) menunjukkan isyarat selepas memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Rio.
Berita Harian X