Ahad, 29 Januari 2017 | 12:41am
PENGURUS Kanan Harta Intelek, Inisiatif Digital, Penyelidikan dan Konsultansi (HIPP), Perbadanan Kota Buku (PKB), Hasri Hasan. - Foto Mahzir Mat Isa

Empat ciri buku masa depan bakal selamatkan penerbit tanah air

DUNIA buku tanah air perlu melakukan perubahan bersesuaian perkembangan dunia digital hari ini, dengan mempersembahkan kandungan mengikut empat ciri buku elektronik (e-buku) masa depan, iaitu interaktif, kesalinghubungan, pintar dan boleh disesuaikan.

Pengurus Kanan Harta Intelek, Inisiatif Digital, Penyelidikan dan Konsultansi (HIPP), Perbadanan Kota Buku (PKB), Hasri Hasan, ketika membincangkan ciri buku masa depan itu bersama Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar, berkata ciri pintar membolehkan buku itu mengenal pasti corak bacaan pembaca dan tahap minat seperti dilakukan peranti Google Glass.

Beliau berkata, ciri terhubung membolehkan e-buku masa depan ini memaklumkan kepada penerbit mengenai gelagat pembaca melalui laporan analitik, supaya penerbit mengetahui bagaimana kandungan mereka digunakan.

Membayangkan kandungan fiksyen akan semakin banyak diakses melalui platform sosial seperti Wattpad, Hasri berkata, demokrasi penulisan juga membenarkan pembaca memberi cadangan bagaimana perjalanan watak dalam naskhah yang dibaca.

Teknologi buku masa depan

"Bukan itu sahaja, dengan teknologi e-buku masa depan, ciri ini akan membenarkan pembaca memilih plot yang dikehendaki untuk pengakhiran cerita.

"Dunia buku Malaysia juga perlu mula berubah mengikut gelagat pembaca digital. Kenapa pembaca kini lebih suka membaca bahan dari media sosial?

"Ia adalah disebabkan pemilik kandungan tidak menyediakan kandungan mereka mengikut cara pembaca mengakses maklumat zaman kini," katanya kepada Sastera & Budaya, di sini.

Paling menarik, kata Hasri, cerita fiksyen juga boleh dibangunkan melalui buku audio yang akan membolehkan pengguna mendengar karya fiksyen ini dibacakan kepada mereka dalam format MP3 melalui telefon pintar di kenderaan masing-masing termasuk ketika terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

"Penerbit buku akademik pula perlu membangunkan platform e-pembelajaran yang menyeluruh dan kandungannya mungkin sama dengan apa yang ada dalam buku, tetapi bentuk penyampaiannya diubah kepada digital.

"Ia bukan sahaja membolehkan pembelajaran secara berperingkat, malah pelajar juga tidak terikat dengan rakan lain dan boleh belajar mengikut kemampuan dan kepantasan sendiri.

"Sistem e-pembelajaran yang bagus bukan saja memanfaatkan pelajar, malah dapat memberi guru lebih masa mengenal pasti kelemahan pelajar melalui laporan analitik yang terbina dalam platform berkenaan," katanya.

Selain itu, katanya, satu bentuk penyampaian cara baharu ialah melalui penerbitan video bukan sahaja secara percuma melalui Youtube, penerbit boleh memuat naik video masakan resipi chef tersebut ke laman web khas yang didedikasi untuk buku resipi mereka.

"Kaedah ini bukan sahaja akan menarik minta pembeli buku resipi mereka kerana pengguna pasti mahu melihat demonstrasi masakan sebenar yang dilakukan sendiri oleh penulis buku, malah buku resipi dan video percuma adalah gandingan kandungan yang sangat menarik di pasaran," katanya.

Hasri berkata, buku kanak-kanak juga boleh ditampilkan dalam bentuk e-buku masa depan, berdasarkan perkembangan hari ini, ramai ibu bapa memilih akses digital bagi kandungan yang berfaedah dan memiliki unsur pendidikan buat anak mereka.

Sesuai dengan perkembangan ini, PKB katanya, mengambil langkah merancang pelbagai latihan kepada penerbit dan pemilik kandungan bagi menghadapi pasaran masa depan melalui Akademi Kota Buku (AKB).

"Kami juga merancang 80 peratus daripada kursus yang ditawarkan mulai tahun ini akan memfokus kepada buku masa depan dan pasaran antarabangsa seperti kursus penyuntingan 'online' dan pembinaan buku akademik interaktif digital.

"HIPP juga akan mula mempromosi kempen pendigital kandungan kepada penerbit dan agensi kerajaan yang memiliki kandungan berpotensi tinggi.

"Pendigitalan kandungan ini juga tidak terhad kepada e-buku semata-mata, malah termasuk prototaip buku audio, buku interaktif digital, buku augmentasi realiti dan juga platform pembelajaran digital," katanya.

Berita Harian X