Sabtu, 28 Januari 2017 | 6:11pm

Berjudi bawah pokok buluh

PENDANG: Seorang pesakit mental adalah antara lapan lelaki ditahan dalam serbuan di kawasan semak Kampung Sukamari, dekat sini, selepas disyaki berjudi.

Serbuan dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang kira-kira jam 4.15 petang semalam, susulan maklumat awam berhubung kejadian judi di kawasan terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk Mohd Nashir Ya, berkata semua lapan suspek yang leka berjudi bertempiaran lari sebaik diserbu, dengan seorang
daripadanya terjun ke sungai untuk melarikan diri dan hampir lemas.

Bagaimanapun, dia dapat diselamatkan oleh pihak berkuasa.

Mohd Nashir berkata, suspek berusia antara 32 hingga 69 tahun itu dikesan bermain judi dadu dengan seorang penganjur di bawah pokok buluh di kawasan semak itu.
"Seorang yang ditahan turut memiliki kad rawatan pesakit mental.

"Susulan serbuan, kita merampas meja, kerusi plastik, mangkuk, dadu dan wang tunai RM80," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Berita Harian X