Sabtu, 28 Januari 2017 | 12:07am

Ikat perut untuk lebih sihat

PEMBEDAHAN 'mengikat perut' untuk menguruskan badan mungkin kedengaran mengerikan tetapi prosedur itu adalah antara kaedah paling selamat untuk mengatasi masalah berat badan berlebihan dengan kesan kegemukan ketara atau obesiti.

Lebih penting, pembedahan yang sering disalah erti sebagai pembedahan kosmetik ini memberikan manfaat daripada sudut kesihatan termasuk mengatasi penyakit diabetes, sakit sendi dan sakit belakang.

Dikenali sebagai pembedahan Bariatrik, ia adalah pembedahan minor bagaikan pembedahan pundi hempedu yang mengambil masa sekitar 30 minit saja.

Pakar Bedah Obesiti dan Metabolik, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Tikfu Gee, berkata pembedahan bariatrik kini dijalankan di HKL untuk individu yang mengalami obesiti dan masalah kesihatan berkaitannya.

Kebanyakan pesakit yang datang untuk menjalani pembedahan bariatrik, kata beliau bukan saja perlu menurunkan berat badan tetapi juga mengalami sakit belakang, sakit sendi, sendi rosak, menghidap diabetes dan komplikasi jantung.


PAKAR Bedah Obesiti dan Metabolik, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Tikfu Gee. - Foto Nazran Jamel

Ikhtiar untuk hamil

"Terdapat juga wanita obesiti menjalani pembedahan untuk hamil selain pesakit yang mengalami masalah berdengkur akibat kegemukan," katanya.

Pembedahan Bariatrik katanya, dijalankan dengan menggunakan kaedah laparoskopi iaitu dengan menebuk antara empat hingga lima lubang pada bahagian perut sebelum 'stapler' dimasukkan menerusinya untuk memotong. Pada masa sama mencantumkan bahagian berkenaan.

Pembedahan ini kata Dr Tikfu, terbahagi kepada dua kaedah iaitu 'sleeve gastrectomy' yang memotong 85 peratus perut dan dikeluarkan melalui lubang kecil yang ditebuk pada perut.

Bahagian perut yang tinggal hanya 10 sehingga 15 peratus saja dan boleh memuatkan 150 sehingga 200 mililiter makanan saja pada satu masa menyebabkan makanan hanya boleh diambil dalam kuantiti kecil.

Sembuhkan diabetes

Kaedah kedua adalah 'pintasan gastrik' (gastric bypass) yang mana kantung perut yang kecil, kira-kira 30 mililiter, dicipta pada bahagian atas perut dengan membahagi dua perut menggunakan stapler.

Kemudian, hujung usus kecil akan disambung dengan kantung kecil berkenaan manakala bahagian kedua perut yang masih bersambung dengan usus kecil dibiarkan kekal tanpa perlu dikeluarkan.

Apabila makanan turun terus ke usus kecil lebih awal daripada biasa, ada beberapa jenis hormon dikeluarkan oleh usus kecil iaitu PYY dan GLP-1 bertanggung jawab menyembuhkan diabetes malah 80 peratus kes diabetes sembuh menerusi kaedah ini.

"Pembedahan pintasan gastrik adalah yang terbaik untuk mereka yang menghidap diabetes. Pembedahan 'sleeve gastrectomy' pula sesuai untuk individu yang mengalami masalah obesiti tanpa diabetes tetapi penyakit berkaitan seperti kaki atau hati bengkak.

"Di dalam perut terdapat hormon ghrelin yang menaikkan selera makan dan fungsi lainnya adalah untuk menaikkan paras gula, jadi apabila 85 peratus perut di buang, keadaan ini secara langsung mengawal selera dan berat badan," katanya.

Selepas pembedahan, pesakit mungkin dirujuk ke pakar pembedahan plastik untuk menjalani rawatan bahagian badan yang menggeleber selepas berat badan menurun.

Keadaan pesakit lebih selesa

Seorang penghidap diabetes, Mohd Mazni Mat Sabri, 49, berkata beliau tidak lagi bergantung kepada suntikan insulin selepas menjalani pembedahan pintasan gastrik pada penghujung April tahun 2016.

Berat badannya yang mencecah 116 kilogram (kg) turun sebanyak 33 kg dan paling menggembirakannya apabila tidak lagi perlu menyuntik 80 unit insulin sebanyak tiga kali sehari seperti sebelum ini.

"Ketika menjalani pembedahan, saya tidak merasa sakit langsung walaupun sebanyak lima lubang ditebuk di atas perut saya dan tempoh pemulihan juga sangat cepat iaitu lima hari saja.

"Sekarang saya makan dalam kuantiti sedikit saja kerana cepat kenyang. Kencing manis, kolesterol dan lemak di dalam hati juga terkawal berbanding sebelum ini," katanya.

Bedah selepas bersalin

Hazimah Azman (bukan nama sebenar), 35, berkata beliau menjalani pembedahan 'sleeve gastrectomy' kerana berat badannya mencecah 116 kg selepas melahirkan anak ketiga.

Mengalami obesiti menyebabkan beliau merasa rendah diri dan banyak usaha dilakukan untuk mengembalikan bentuk badan asal termasuk mendapatkan rawatan di pusat kelangsingan badan yang hanya menemui jalan buntu.

"Saya bersyukur kerana selepas pembedahan dua tahun lalu, berat badan berjaya diturunkan sebanyak 46 kg tetapi saya perlu mencapai berat badan ideal iaitu 60 kg.

"Selepas pembedahan, selera makan tidak seperti sebelum ini yang mana saya hanya boleh makan sedikit saja pada setiap hidangan," katanya yang kini lebih berkeyakinan tinggi untuk berdepan dengan orang ramai.

Info

*Isi padu perut:

- 1.5 liter (saiz botol air mineral).

*Fungsi perut-mengisar makanan.

- Menghadam makanan.

*Indeks Jisim Berat (BMI) membolehkan pembedahan bariatrik dijalankan:

- Lebih 32.5 dengan diabetes atau penyakit metabolik.

- Lebih 37.5 tanpa penyakit.

*Apakah pembedahan bariatrik?

- Prosedur mengurangkan berat badan.

- Mengurangkan jumlah makanan yang boleh disimpan di dalam perut.

*Jenis pembedahan biasa dijalankan:

- Gastrik bypass

- Sleeve gastrectomy

*Kesan pembedahan;

- Hilang berat badan sebanyak 10 peratus dalam tempoh satu bulan pertama.

- Penurunan lebih ketara selepas setahun.

Berita Harian X