Sabtu, 28 Januari 2017 | 12:02am

Bahaya kosmetik bermerkuri

PENGGUNAAN merkuri atau raksa di dalam bahan kosmetik berupaya mengancam kesihatan termasuk meningkatkan risiko kegagalan buah pinggang dan gangguan sistem saraf.

Gangguan akibat kesan merkuri lazimnya berlaku dengan pelbagai gejala seperti mudah letih, sakit kepala, tangan dan kaki kebas serta kemurungan.

Bagi ibu hamil pula, penggunaan kosmetik mengandungi merkuri mengganggu perkembangan sistem saraf bayi di dalam kandungan kerana bahan berkenaan diserap masuk ke dalam darah ibu dan bayi.

Pakar Perubatan Dermatologi, Jabatan Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM PPUKM), Prof Madya Dr Adawiyah Jamil, berkata merkuri tidak banyak bahaya secara terus pada kulit tetapi lebih bahaya jika diserap di dalam badan melalui kulit.

Beliau berkata, kulit pada wajah mengandungi saluran darah yang halus dan apabila sesuatu disapu pada wajah, ia boleh diserap oleh saluran darah sebelum masuk ke seluruh badan serta organ seperti buah pinggang.

Kesan kulit menggelupas

"Pada kulit saja, kesan sampingannya adalah kulit menjadi merah atau menggelupas. Ketika ini pengguna perlu segera berhenti menggunakan produk berkenaan," katanya.

Beliau menasihatkan pengguna supaya tidak tertipu dengan pujukan pengeluar supaya mereka terus menggunakan produk berkenaan apabila kulit menggelupas dan merah.

Alasan keadaan kulit menggelupas dan kemerahan sebagai tindak balas penyingkiran toksin adalah tidak benar sebaliknya adalah petanda kulit tidak serasi dengan produk berkenaan.

Walaupun asalnya merkuri digunakan untuk mencerahkan kulit, dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan pigmentasi (perubahan warna kulit) yang mungkin berlaku dalam tempoh berbulan atau bertahun.

Bagaimana merkuri berfungsi mencerahkan kulit juga tidak jelas tetapi besar kemungkinan ia menghalang pengeluaran melanin yang mana kulit tidak dapat menghasilkan warna untuk melindunginya daripada cahaya matahari.

Tingkat risiko barah kulit

Tanpa penghasilan melanin, kulit akan lebih cerah tetapi secara tidak langsung meningkatkan risiko barah kulit akibat terdedah kepada sinar ultra ungu dihasilkan matahari.

"Sebelum membeli atau menggunakan sesuatu produk, pastikan ia tiada mengandungi merkuri, juga dikenali sebagai Hg, mercuric iodide, mercurous chloride, quicksilver, cinnabaris dan hydrargyri oxydum rubrum yang kadangkala perkataannya agak panjang tetapi tetap merkuri.

"Masalah kebanyakan produk tidak mempamerkan label kandungan bahan dan bahan lain pun ada yang boleh memutihkan seperti kacang soya, agak menyukarkan untuk mengenal pasti produk mengandungi merkuri," katanya.

Sekiranya terdapat amaran sesuatu produk tidak boleh bersentuh dengan logam lain atau barang kemas, produk terbabit mungkin mengandungi merkuri yang boleh menukar warna logam lain apabila bersentuhan.

Info

* Penggunaan merkuri di dalam kosmetik untuk pasaran tempatan tidak dibenarkan.

*Jumlah kepekatan merkuri yang dibenarkan Agensi Regulatori Farmasi Negara untuk (Solekan mata dan pembersih solekan mata saja);

0.007 peratus saja.

*Asas mencegah penuaan kulit;

- Menyapu pelindung matahari untuk melindungi kulit daripada matahari.

- Menggunakan pelembap.

*Apakah merkuri?

- Sejenis logam berat semula jadi.

- Pernah digunakan dalam industri kesihatan untuk mengukur tekanan darah dan termometer.

- Terdapat dalam produk kosmetik seperti sabun dan krim untuk mencerahkan kulit.

- Terdapat dalam produk lain pembersih solekan, maskara dan pembayang mata.

* Fungsi merkuri dalam kosmetik;

- Mencerahkan kulit.

- Mendapatkan warna tertentu untuk bahan solekan.

Berita Harian X