Sabtu, 28 Januari 2017 | 12:01am
BAHAN-BAHAN Ayam goreng satay. - Foto Roslin Mat Tahir
Ayam goreng satay

Kemanisan ayam goreng satay


MASAKAN siap. Disyorkan dihidang bersama nasi impit dan kuah kacang.

DI pasaran kini menawarkan pelbagai perencah dan perisa yang mampu menyedapkan rasa makanan. Malah, membolehkan anda mencuba pelbagai resipi dengan jaminan rasa menyelerakan.

   Pengusaha restoran Warong @Sri Aman juga pengeluar perencah masakan serbaguna, Innni, Sharifah Norma Syed Mansur, mengilhamkan perencah yang bukan saja menyempurnakan hidangan bakar, panggang, goreng dan kukus bahkan melazatkan masakan berkuah selain melengkapi aneka resipi mi, bihun termasuk sup serta sayur campur.

   "Apa jenis masakan boleh dicuba dalam tempoh singkat dan lazimnya kurang dari sepuluh minit. Sekiranya dicuba pada sup, ia mampu membangkitkan aroma menyelerakan manakala sesudu perencah yang dimasukkan dalam kuah kari dan asam pedas misalnya, bukan saja mampu memekatkan kuah bahkan memberikan warna lebih cantik," katanya.

Ramuan penting masakan

Sharifah Norma yang berkahwin dengan ahli kerabat Johor, Ungku Mohd Ariff Ungku Mohd Tahir, kuat dipengaruhi santapan istana yang menawarkan pelbagai jenis hidangan termasuk masakan cina dan barat.

   "Kebetulan, kami sekeluarga suka makan, sekali gus mendorong kami mengilhamkan pelbagai formula bagi meningkatkan lagi kualiti dan rasa hidangan. Saya dan suami mengambil masa lebih kurang tiga empat tahun untuk menghasilkan formula perencah ini dan kini, ia menjadi sebahagian ramuan penting masakan," katanya turut diakui anaknya, Ungku Mohd Zubir Ungku Mohd Ariff.

Istimewa buat dapur Aroma Kulinari, Sharifah Norma dan Ungku Zubir berkongsi rahsia menyediakan hidangan ayam goreng satay yang menzahirkan rasa lazat dan manis.

Resipi
Ayam goreng satay

Bahan-bahan;

* 600 gram daging ayam

* 2 batang serai

*3 sudu besar santan

* 1 sudu besar gula

* Perencah secukup rasa

Cara menyediakannya;


GAUL perencah bersama daging ayam dan perap selama 20 minit supaya rempah meresap menyeluruh dalam daging.


GORENG serai sehingga mengeluarkan aroma harum.


GORENG ayam bersama serai untuk tempoh sekurang-kurangnya 15 minit. Pastikan api kuat supaya ayam garing dan berwarna kekuning-kuningan.


MASUKKAN tiga sudu santan dan kacau hingga pecah lemak. Teruskan kacau sampai kering.


MASAKAN siap. Disyorkan dihidang bersama nasi impit dan kuah kacang.

Cara menyimpan daging ayam tahan lama;

1. Siapkan plastik atau bekas untuk menyimpan.

2. Cuci ayam dari kotoran darah dan najis.

3. Tapis air dari bilasan cucian.

4. Kemudian bahagi ayam itu mengikut hari yang hendak dimasak dan masuk ke dalam bekas.

5. Masuk ke dalam peti sejuk di bahagian beku.   

Berita Harian X