Jumaat, 27 Januari 2017 | 9:00pm

Penyenaraian unit hartanah, ladang akan jana nilai aset

KUALA LUMPUR: Cadangan Sime Darby Bhd untuk menyenaraikan unit perniagaan perladangan dan hartanahnya dijangka dapat merungkai nilai kumpulan perladangan itu sebagai sebuah konglomerat.

MIDF Research berkata, strategi Sime Darby itu akan membolehkan pengurusan syarikat memberikan fokus kepada operasi setiap satu unit perniagaannya.

"Kami merasakan bahawa pemegang saham berkemungkinan dapat menikmati manfaat jangka panjang daripada penarikan semula 'diskaun konglomerat' yang diikat oleh pasaran.

"Ia, khususnya adalah tepat bagi unit perladangan memandangkan sesebuah syarikat perladangan tulen cenderung untuk menjana penilaian harga pendapatan (PE) lebih tinggi berbanding konglomerat yang memiliki banyak perniagaan," kata firma penyelidikan itu dalam satu nota.

Kenanga Research pula berkata, cadangan yang dikemukakan itu bukan hanya akan dapat merealisasikan nilainya malah berupaya menambah baik kedudukan kewangan Sime Darby di samping menghasilkan bonus kepada pemegang saham dalam bentuk dividen atau saham di dalam syarikat baharu kelak.

Katanya, sebelum ini sudah terdapat spekulasi meluas bahawa Sime Darby ada berhasrat untuk merungkai nilai syarikat itu yang sebelum ini tidak dapat direalisasikan.

"Walaupun butirannya kurang, kami ada melakukan analisis senario. Kami beranggapan Sime Darby akan mengekalkan 51 peratus kepentingan di dalam kedua-dua perniagaan dengan permodalan pasaran unit perladangan RM39.5 bilion, berbanding RM29.1 bilion yang dimiliki oleh syarikat perladangan terbesar buat masa ini, IOI Corp.

"Sementara itu, permodalan pasaran unit hartanah dijangka RM15.9 bilion berbanding pesaing terdekatnya IOI Property dan SP Setia pada RM9.3 bilion," katanya.

Sime Darby, kelmarin mengemukakan cadangan untuk memisahkan perniagaannya menjadi tiga unit berasingan iaitu perladangan, hartanah serta perdagangan dan logistik.

Difahamkan, unit perladangan dan hartanah akan disenaraikan di Bursa Malaysia, manakala perniagaan perdagangan dan logistik akan kekal di bawah Sime Darby Bhd.

Justifikasi bagi cadangan itu adalah pemegang saham akan mendapat manfaat daripada potensi pertumbuhan ketiga-tiga syarikat memandangkan setiap unit menjadi lebih kukuh, distruktur dengan strategik serta lebih bersedia untuk bergerak sendiri dan disenaraikan sebagai syarikat tunggal.

Unit perladangan Sime Darby mempunyai simpanan tanah 998,599 hektar dengan 603,254 hektar daripadanya boleh diusahakan dengan tanaman.

Ia juga pengeluar terbesar minyak sawit lestari (CSPO) dengan pengeluaran sebanyak 2.6 juta tan setiap tahun.

Prospek pertumbuhan tandan buah segar (FFB) pula adalah daripada operasi di India, yang mana 16 peratus daripada kawasan yang sudah ditanam masih lagi belum matang, atau kurang daripada tiga tahun.

Tiada tarikh masa diberikan oleh Sime Darby berhubung cadangan berkenaan, namun dijangkakan ia akan diperjelaskan oleh pengurusan syarikat pada taklimat keputusan kewangannya akhir bulan depan.

Berita Harian X