Jumaat, 27 Januari 2017 | 12:00pm

10 maut akibat kebakaran hutan di Chile


KEBAKARAN hutan di Santa Olga, Chile. - Foto Reuters

SANTIAGO: Kebakaran hutan di tengah Chile setakat ini, mengorbankan 10 mangsa, manakala ribuan lagi kehilangan tempat tinggal.

Angin kencang dan kemarau menyebabkan kebakaran semakin merebak hingga memusnahkan beberapa kampung, selain kawasan seluas 273,000 hektar dalam tempoh seminggu.

Kes terbaru membabitkan seorang anggota bomba yang maut apabila trak bomba yang dinaikinya dihempap pokok tumbang di wilayah Biobio, iaitu 550 kilometer ke selatan ibu negara, Santiago.

Sehingga kini, lima anggota bomba, dua anggota polis dan tiga penduduk terbunuh ketika cuba memadamkan kebakaran.

Penduduk tempatan turut membantu usaha memadamkan api bagi menyelamatkan rumah, haiwan ternakan dan ladang mereka.

Pada Selasa lalu, President Michelle Bachelet, mengarahkan dana tambahan untuk menangani kebakaran hutan yang disifatkannya paling teruk pernah berlaku di negara itu.

"Sekurang-kurangnya 4,000 orang sudah dipindahkan awal minggu ini," kata Pejabat Kecemasan Kebangsaan.

Dalam pada itu, lebih 4,000 pekerja kecemasan diarah membantu memadamkan kebakaran, termasuk menggunakan pesawat khas.

Ramalan cuaca panas dan berangin meningkatkan lagi kebimbangan kebakaran akan terus merebak.

Kebakaran itu dilaporkan berlaku di kawasan penempatan bandar yang kurang penduduk di wilayah O'Higgins dan El Maule.

Sementara itu, Menteri Luar, Heraldo Munoz, berkata Amerika Syarikat, Kanada serta beberapa lagi negara sudah menawarkan bantuan untuk memadamkan kebakaran.

Kebakaran kerap berlaku di Chile dan kebanyakannya disebabkan aktiviti manusia.

Namun, tahun ini dianggap paling buruk, selain akibat kemarau, aktivis alam sekitar menyifatkan ia berpunca daripada perubahan iklim. - AFP

Berita Harian X