Jumaat, 27 Januari 2017 | 9:50am

Jamaica sedia rayu bersihkan nama Bolt


USAIN Bolt. -Foto Reuters

KINGSTON, JAMAICA: Usain Bolt berkemungkinan besar akan memenangi kembali pencapaian 'tiga pingat emas dalam tiga temasya Olimpik' miliknya, selepas Jamaica menimbang merayu berhubung penarikan balik pingat emas acara 4x100 meter yang dimenangi di Beijing.

Pelari terpantas dunia itu hilang satu daripada sembilan pingat emas Olimpiknya minggu ini selepas rakan sepasukannya, Nesta Carter didapati positif menggunakan bahan terlarang.

Micheal Farter, Asafa Powell dan Dwight Thomas juga turut diarahkan supaya memulangkan kembali pingat mereka.

Namun, Ketua Persatuan Olimpik Jamaica, Mikel Fennell tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang.

"Saya boleh mengesahkan surat sudah diserahkan kepada lima ahli pasukan yang memenangi pingat emas Olimpik Beijing 2008 yang memohon supaya pingat diserahkan kembali mengikut arahan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

"Kami akan putuskan cara perundangan yang terbaik. Ia membabitkan pasukan dan kami akan memastikan mereka semua dilindungi dan diberikan peluang yang adil membersihkan nama.

"Berhubung mengenai perbincangan kami bersama Nesta, setakat ini dia sedang membincangkan rayuannya kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bersama peguamnya di sini dan juga di United Kingdom (UK).

Peguam kepada Carter mengesahkan pelari pecut yang mencatat rekod peribadi terbaik 9.78 saat itu akan memfailkan rayuan kepada CAS. -Agensi

Berita Harian X