Khamis, 26 Januari 2017 | 8:37pm

Sime Darby cadang senarai unit perniagaan perladangan, hartanah


PEMANGKU Peguam Negara, Sally Yates. - Foto Reuters

KUALALUMPUR: Sime Darby Bhd merancang mewujudkan tiga perniagaan ikonik miliknya secara berasingan dalam sektor perladangan, hartanah serta perdagangan dan logistik.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Sime Darby berkata ia menjangkakan unit perladangan dan hartanah akan menjadi syarikat senaraian awam, sementara perniagaan perdagangan dan logistik akan kekal di bawah Sime Darby.

"Inisiatif ini akan membolehkan setiap perniagaan mencapai aspirasi berbeza dengan fokus dan keupayaan lebih baik dengan mengambil manfaat daripada potensi peluang pertumbuhan bagi memaksimumkan nilai kepada pemegang saham.

"Sime Darby akan menilai langkah pelaksanaan dan menetapkan garis masa untuk memberi kesan kepada keputusan Lembaga Pengarah. Selepas menerima kelulusan akhir daripada Lembaga Pengarah selepas penilaian, kami akan memberi butiran lanjut," kata makluman itu.

Presiden merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Mohd Bakke Salleh, berkata fokus utama syarikat itu adalah untuk memberi nilai terbaik kepada pemegang saham.

"Keputusan Lembaga Pengarah adalah penting untuk langkah seterusnya yang perlu kami ambil bagi mencapai aspirasi asal pemegang saham pada 2007 di mana Sime Darby baharu diwujudkan hasil penggabungan antara Golden Hope Plantations Bhd, Kumpulan Guthrie Bhd dan Kumpulan Sime Darby Bhd," katanya.

Mohd Bakke berkata, dengan langkah itu pemegang saham akan mendapat manfaat daripada potensi pertumbuhan dalam ketiga-tiga entiti berkenaan.

"Setiap perniagaan akan tertera jenama Sime Darby dan ia akan meneruskan warisan ikon Malaysia berusia 106 tahun dan jaguh yang mempunyai kemampuan bersaing di pentas global," katanya.

Sime Darby disenaraikan pada 30 November 2007, seterusnya menjadi syarikat pengeluar minyak sawit senaraian awam terbesar dunia dan pemaju hartanah terbesar Malaysia dari segi simpanan tanah.

"Sime Darby akan terus meneroka peluang pertumbuhan di pasaran domestik dan luar negara. Kami sudah mengenal pasti sinergi perniagaan baharu yang berpotensi tinggi untuk memanfaatkan perubahan keperluan pelanggan kami dan merealisasikan sepenuhnya potensi perniagaan sedia ada," kata Mohd Bakke.

Perkembangan itu tidak akan memberi gangguan besar kepada operasi sedia ada Kumpulan Sime Darby, kata Mohd Bakke.

Antara unit utama dalam Sime Darby adalah automotif dan perindustrian, di mana kedua-duanya kini menjadi antara pemain terbesar dalam sektor masing-masing di rantau Asia Pasifik.

Sime Darby Motors adalah pengedar kedua terbesar BMW di dunia dan antara kumpulan pengedar automotif terbesar di rantau Asia Pasifik.

Sime Darby Industrial pula adalah pengedar Caterpillar terbesar di Asia Pasifik dan antara terbesar di dunia.

Antara unit perniagaan yang semakin pesat membangun ialah logistik dan penjagaan kesihatan, di mana Sime Darby Logistics mengendalikan pelabuhan pelbagai guna terbesar di Yellow River Delta, di Wilayah Shandong, manakala perniagaan penjagaan kesihatan menjadi antara pembekal utama dalam sektor berkaitan di Malaysia.

Info:

Tiga syarikat baharu

* Sime Darby Plantation Bhd (sebelum ini dikenali Sime Darby Plantation Sdn Bhd)

- Pengeluar minyak sawit yang disahkan mapan (CSPO) terbesar dunia dengan pengeluaran 2.6 juta tan CSPO setahun

- Menyumbang 23 peratus kepada pengeluaran keseluruhan CSPO global

- Miliki simpanan tanah 988,599 hektar dengan keluasan tanaman 603,254 hektar

* Sime Darby Property Bhd

- Diwujudkan pada 2007 dan menjadi pemaju hartanah bersepadu

- Miliki simpanan tanah strategik di Malaysia

- Antara peneraju hartanah

- Projek pembangunan Battersea Power Station di London membawanya ke peringkat antarabangsa

Berita Harian X