Khamis, 26 Januari 2017 | 7:34pm

Kerajaan sentiasa beri perkhidmatan kesihatan lebih baik - PM


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak beramah mesra dengan kakitangan ketika membuat lawatan mengejut bagi meninjau persekitaran serta keselesaan di hospital yang dibina pada tahun 2005 itu. - Foto Facebook **240269

SERDANG: Perdana Menteri hari ini membuat lawatan mengejut ke Hospital Serdang, di sini bagi meninjau persekitaran serta keselesaan di hospital yang dibina pada tahun 2005 itu.

Datuk Seri Najib Razak, yang diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, melawat wad kecemasan, wad bersalin dan wad biasa.

Najib yang tiba pada kira-kira jam 5.30 petang, meluangkan kira-kira satu jam melawat hospital itu dan beramah mesra dengan pesakit serta keluarga.

Beliau juga mendapat penerangan daripada Pengarah Hospital Serdang, Dr Rohana Johan.

Bercakap kepada pemberita selepas melakukan lawatan dan tinjauan itu, Perdana Menteri berkata:


NAJIB beramah mesra dengan pesakit serta keluarga ketika melawat ke Hospital Serdang, hari ini. - Foto Facebook

NAJIB melawat Hospital Serdang hari ini untuk meninjau keadaan hospital yang dikatakan mempunyai bilangan pelawat dan pesakit yang ramai setiap tahun. - Foto Facebook

"Sebagai sebuah kerajaan, kita sentiasa menekankan bagaimana memberikan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik lagi dari semasa ke semasa.

"Saya melawat Hospital Serdang hari ini untuk meninjau keadaan kerana saya difahamkan hospital ini mempunyai bilangan pelawat dan pesakit yang ramai setiap tahun sehingga keadaan sesak."

Najib bagaimanapun berkata, beliau tetap bangga dengan tahap komitmen yang ditunjukkan oleh pentadbiran hospital, kakitangan, doktor dan jururawat bagi memberikan perkhidmatan terbaik untuk pesakit dengan mengurangkan masa menunggu.

"Kos perkhidmatan yang kita berikan ini adalah sangat rendah, umpamanya wad bersalin dikenakan bayaran RM50 untuk setiap bayi. Saya difahamkan wad ini mendapat sambutan hangat dalam kalangan pesakit.

"Wad Kelas ketiga mengenakan (caj) RM3 sehari. Ini adalah antara bayaran terendah di dunia. Ini bermakna kerajaan dapat menyediakan perkhidmatan kesihatan yang bermutu dengan harga yang sangat minimum," katanya.

Najib juga mengarahkan Kementerian Kesihatan untuk meneliti keperluan tambahan hospital seperti ambulans, tilam, katil dan kerusi, yang agak terhad dengan serta-merta.

"Saya minta Kementerian Kesihatan menjalankan tindakan susulan dengan segera supaya keperluan ini dapat dipenuhi dalam masa terdekat agar dapat memberikan keselesaan kepada pesakit dan pelawat," katanya.

Ditanya mengenai dana, Najib berkata: "Ia tidak memerlukan belanja yang besar sangat." - BERNAMA

Berita Harian X