Khamis, 26 Januari 2017 | 12:18pm

BN tetap menjadi pilihan rakyat mengadu keluhan


ADUN Dengkil Shahrum Mohd Sharif. - Foto NSTP/Roslin Mat Tahir

DENGKIL: Kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan ketika ini menjadi bukti Barisan Nasional (BN) tetap parti terbaik bagi membela nasib mereka walaupun di negeri seperti Selangor, yang tidak dikuasai parti itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd Sharif, berkata hakikat itu tidak boleh dinafikan kerana masih ramai penduduk Selangor yang lebih selesa menagih bantuan BN berbanding kerajaan negeri, malah parti itu turut dipersalahkan bagi masalah rakyat di negeri berkenaan.

Beliau berkata demikian mengulas kecaman terhadap BN yang menjadi viral di laman sosial, kononnya parti itu dan kerajaan Persekutuan tidak prihatin terhadap kesusahan sebuah keluarga yang tinggal di bangunan terbiar berdekatan jalan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Shahrum berkata, perkara itu tidak seperti yang dihebohkan orang ramai kerana keluarga berkenaan memilih sendiri untuk tinggal di kawasan itu walaupun tidak dilengkapi kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air.

"Kerajaan BN tidak pernah mengabaikan keperluan keluarga terbabit, malah mereka pernah menerima bantuan rumah asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada 2015 dan bantuan bulanan Pusat Zakat Selangor (PZS) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), " katanya di sini.

Selasa lalu, Shahrum bersama bersama beberapa wakil badan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menziarahi keluarga yang dilaporkan menetap di bangunan terbiar itu sejak dua tahun lalu.

Bangunan yang tiada kemudahan asas itu dijadikan sebagai tempat tinggal seorang ibu tunggal, Aizalina Ahmad, 39, dari Banting, Selangor bersama empat anak perempuan berumur lapan hingga 15 tahun dan seorang cucu berumur dua tahun.

Aizalina, yang berpisah dengan suaminya beberapa tahun lalu, meninggalkan rumah bantuan asnaf PZS yang diterima atas beberapa sebab dan bekerja sebagai pengutip barang terbuang selain menerima sumbangan orang ramai untuk menyara keluarga termasuk membiaya persekolahan empat orang anaknya pada peringkat menengah.

Shahrum berkata, ketika lawatan itu, keluarga terbabit diminta berpindah sementara ke sebuah rumah kedai di Bukit Changgang yang disediakan pihaknya untuk tempoh sebulan sementara diberi bantuan mendapatkan sebuah rumah sewa yang akan dibiaya sewa bulanannya oleh LZS bagi keselesaan keluarga terbabit.

"Saya memberi jaminan bahawa keluarga ini akan diberikan bantuan dan perhatian pihak yang bertanggungjawab termasuk memastikan anak-anak beliau (Aizalina) terus mendapat pendidikan," katanya.

Berita Harian X